Disahkan hidap CP sehari selepas lahir

Disahkan hidap CP sehari selepas lahir

Maran: Usianya sudah 18 tahun namun Muhammad Zulhaikal Zulkifle ibarat bayi kerana belum dapat berjalan dan hanya terlantar akibat Cerebral Palsy (CP) yang dikesan sejak lahir.

Muhammad Zulhaikal atau nama manjanya Haikal yang juga anak sulung daripada lima beradik itu juga tidak boleh bercakap dan makan akibat ulser perut dialami pada 2019.

Sebaliknya, Haikal hanya minum susu khas setiap tiga jam sekali menerusi tiub disambung pada hidung.

Berkongsi kisah anak syurga itu, ibunya, Nurul Jannah Ibrahim yang menetap di Felda Jengka 15 di sini berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah sepanjang Haikal dalam kandungannya cuma ada diserang demam ketika hamil.

“Kandungan okay cuma saya ada demam jadi dia terkesan kerana difahamkan kena sawan waktu dalam perut.

“Doktor sahkan anak saya CP sehari selepas dia dilahirkan dan pedihnya kerana saya diberitahu doktor yang Haikal tak normal sampai akhir hayatnya.

“Mulanya memang tak dapat terima tapi lama kelamaan okay, ambil masa setahun juga nak berdamai dengan takdir sebab ia terjadi kepada anak sulung. Dugaan tu hanya Allah SWT saja tahu kerana hampir setiap hari Haikal menangis dalam tempoh lama,” katanya.

Sebagai ibu yang bergelar suri rumah, Nurul Jannah berkata, kebanyakan masanya diperuntukkan untuk menjaga dan menguruskan Haikal.

Nurul Jannah mengakui tidak mudah tapi perlu menggalas tanggungjawab itu sendiri ketika suami, Zulkifle Mohd Din, 47, keluar bekerja.

“Saya orang biasa jadi normal untuk berasa tertekan dan tidur malam memang payah terutama bila Haikal sakit kerana dia akan meragam.

“Sekarang ringan sikit sebab adiknya berumur 17 tahun faham dan boleh membantu menjaga Haikal yang ada masalah tulang belakang bengkok walaupun tiada ‘bedsore’ (luka di belakang badan).

“Buat masa ini, Haikal masih dibawa ke hospital dalam empat bulan sekali untuk jumpa pakar kanak-kanak dan rehabilitasi cuma fisioterapi tak kerap seperti dulu. Bab keperluan pula, dia sangat perlukan susu dan lampin pakai buang,” katanya yang menerima sumbangan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jauh di sudut hati, Nurul Jannah mengakui sedih kerana melihat derita ditanggung Haikal selama hampir dua dekad.

“Sedih bila tengok anak orang lain boleh ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi Haikal terlantar tak boleh buat apa.

“Sebaliknya, dia terbaring saja dan kerap diserang sawan malah berat badannya pun tak naik.

“Tapi kalau lihat daripada satu sudut positif, saya bersyukur anak ada depan mata kerana tak pernah berenggang, ke mana pergi pun bawa kecuali yang dekat kawasan rumah akan tinggal dengan adiknya,” katanya yang mengharapkan keajaiban buat Haikal dan berkongsi video di TikTok bagi menceritakan pengalaman menjaga anak syurga.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156141328158 atas nama Nurul Jannah Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top