Disangka ‘penyakit mistik’, rupa-rupanya wabak Ebola

Disangka ‘penyakit mistik’, rupa-rupanya wabak Ebola

KINSHASA – Virus Ebola yang menular di Republik Demokratik Congo (DRC) pada mulanya disangka oleh komuniti setempat sebagai ‘penyakit mistik’.

Kematian misteri yang berulang menyebabkan segelintir penduduk percaya ia berpunca daripada ‘sumpahan’ seorang dukun.

“Pesakit yang dihantar ke hospital akan meninggal dunia tidak lama kemudian. Tetapi, kakitangan perubatan tidak dapat mengenal pasti sebarang penyakit. Ada yang mengatakan pesakit diserang demam atau wabak yang tidak diketahui,” kata Timothee Bedidjo yang tinggal di Mongbwalu.

Misteri itu akhirnya terungkai selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola yang ke-17 di negara berpopulasi lebih 100 juta penduduk itu sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa pada Ahad lalu.

Menurut saksi, kes pertama yang disyaki melibatkan demam berdarah yang sangat mudah berjangkit itu mula muncul di kawasan perlombongan Mongbwalu, di wilayah Ituri yang kaya dengan emas pada pertengahan April.

Krisis Ebola yang melanda DRC kini merebak ke kawasan dikuasai kumpulan pemberontak di negara Afrika Tengah itu.

Petugas bersiap sedia untuk melaksanakan proses pengurusan mayat pesakit Ebola mengikut garis panduan ditetapkan.

Petugas bersiap sedia untuk melaksanakan proses pengurusan mayat pesakit Ebola mengikut garis panduan ditetapkan.

Kes itu yang direkodkan di kawasan pedalaman berhampiran ibu kota wilayah Bukavu, menandakan wabak bawaan kelawar buah itu dipercayai telah menular tanpa dikesan selama kira-kira dua bulan di wilayah Ituri, terletak ratusan kilometer dari pusat wabak sebelum ia dikenal pasti minggu lalu.

Perikatan Sungai Congo (AFC) dianggotai pemberontak M23 disokong Rwanda yang menguasai kawasan di timur DRC pada tahun lalu memaklumkan pesakit berusia 28 tahun itu telah meninggal dunia.

Individu itu dikatakan melakukan perjalanan dari bandar Kisangani, namun tiada butiran diberikan tentang pergerakan terkininya.

Sementara itu, jurucakap kesihatan Kivu Selatan, Claude Bahizire berkata, dua kes telah dikesan di wilayah itu termasuk seorang pesakit yang kini diasingkan sementara menunggu keputusan ujian.

Penyebaran strain baharu, Bundibugyo telah menyebabkan hampir 140 kematian selain kira-kira 600 kes disyaki telah direkodkan di wilayah Ituri dan Kivu Utara. Menurut WHO, dua kes turut disahkan di negara jiran, Uganda.

Pengerusi Gabungan bagi Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (CEPI), Jane Halton memberi amaran kes yang disahkan berkemungkinan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar.

“Sasaran CEPI untuk menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan dalam tempoh 100 hari boleh dicapai, namun ia merupakan tugas yang sangat mencabar,” katanya.

Usaha membendung wabak itu menjadi lebih sukar kerana penularannya di kawasan bandar yang padat penduduk dan konflik bersenjata berterusan di timur Kinshasa.

Penularan berpunca daripada strain Zaire pada 2018-2020, wabak kedua paling maut pernah direkodkan pernah menyebabkan hampir 2,300 kematian.

Pada kali ini, petugas barisan hadapan berkata mereka berdepan kekurangan bekalan asas yang berpunca daripada pemotongan bantuan asing oleh penderma utama hingga melemahkan perkhidmatan kesihatan tempatan dan pemantauan penyakit.

Pada Khamis, Britain memaklumkan ia akan menyalurkan sehingga 20 juta pound (RM106 juta) untuk membantu tindak balas wabak itu. Amerika Syarikat (AS) pula sedia memperuntukkan AS$23 juta (RM91 juta) selain akan membuka sehingga 50 klinik di DRC dan Uganda bagi mengekang penyebarannya.

Scroll to Top