Discus yang tenang

Discus yang tenang

razis@mediaprima.com.my

UMPAMA jatuh cinta pandang pertama. Demikian gambaran minat Muhammad Hazim Kamaruzaman terhadap ikan Discus yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan di kediamannya.

Turut digelar sebagai Raja Ikan Tropika Air Tawar, daya penarik Discus terletak pada corak unik dan warna menyerlah di badannya yang mampu ‘menggoda’ sesiapa sahaja terutama peminat ikan hiasan.

Melihat ia berenang tenang di dalam akuarium, ikan yang berasal dari Lembangan Sungai Amazon itu seolah-olah sedang mempamerkan sisi elegannya.

Semua elemen itu sudah berjaya menarik perhatian Muhammad Hazim saat pertama kali melihat Discus di sebuah pasar tani ketika masih belajar di bangku sekolah.

Keghairahan terhadap ikan ini turut mendorongnya memulakan akaun TikTok ‘Noobies Ikan Discus’ untuk berkongsi perjalanan, pengalaman dan cintanya Discus dari perspektif seorang pemula.

Bagi mewujudkan suasana habitat asal Discus di Sungai Amazon, Muhammad Hazim membina landskap akuarium dengan tema ‘Amazon Biotope’ dengan menggunakan kayu hanyut besar dan pelbagai saiz serta bentuk batu amazon bagi menghasilkan kesan lebih semula jadi.

Malah, ‘tanning’ dari kayu hanyut turut membantu menghasilkan efek ‘blackwater’ sekali gus menambahkan lagi suasana Amazon selain mengekalkan pH yang rendah.

Muhammad Hazim berkata, Discus ialah sejenis ikan yang tenang dan boleh menjadi sedikit ‘menjaga’ kawasan terutamanya ketika sedang mengawan.

“Secara teorinya Discus boleh dipelihara dengan ikan lain yang memiliki karakter tenang.

“Berdasarkan pengalaman saya kini memelihara Discus bersama beberapa spesies ikan lain seperti

Corydoras, Rummynose tetras, Clown loaches, Angelfish, Boesemani Rainbowfish dan Glofish,” katanya.

Menurutnya, dengan penjagaan yang betul dan persekitaran sesuai, Discus boleh hidup antara lapan hingga 10 tahun dengan saiznya boleh mencecah lapan inci bergantung kepada saiz akuarium.

“Kebanyakan penjaga Discus di Malaysia setakat hari ini memelihara ikan Captive bred (CB) dan bukannya Wild caught (WC).

“Pada asalnya hanya terdapat empat ‘wild caught strain’ iaitu Blue, Green, Brown dan Heckel. Kini, melalui teknik pembiakan silang dan terpilih, terdapat lebih 200 ‘strain’ baru termasuk Blue diamond, Red melon, Leopard snake skin(LSS), Albino platinum dan Pigeon checkerboard,” katanya.

Bagi Muhammad Hazim keseronokan memelihara Discus adalah proses pembelajaran untuk memahami tingkah laku ikan berkenaan dan cara mengenalinya apabila menunjukkan simptom masalah.

“Cabaran ini adalah keindahan di sebalik memelihara Discus,” katanya.

Berkongsi diet Discus, Muhammad Hazim memberi beberapa palet khusus berkualiti tinggi untuk memenuhi nutrisi yang diperlukan ikan spesies berkenaan.

“Ikan ini agak cerewet dan memilih jenis makanan. Sekiranya hanya diberikan satu jenis palet Discus akan mengambil masa agak lama untuk makan dan atas sebab itu, saya menyediakan beberapa palet berbeza.

“Pada masa sama, saya elakkan memberi makanan sejuk beku untuk elakkan sebarang jangkitan penyakit terhadap Discus,” katanya.

Selain itu, salah satu aspek yang paling penting untuk memastikan Discus sihat ialah mengekalkan kualiti air dalam keadaan baik dengan melakukan penukaran air dengan kerap.

“Discus, ikan sensitif yang hidup dalam persekitaran air yang bersih dan stabil. Jadi melakukan penukaran air sekurang-kurangnya sekali seminggu adalah amat disyorkan untuk membantu membuang sisa dan lebihan nutrien.

“Sekiranya menggunakan akuarium besar, anda boleh menggunakan sistem penapisan air dan media untuk memastikan air sentiasa dalam keadaan baik sekali gus mengurangkan kekerapan penukaran air,” katanya.

Di Malaysia tiada permit diperlukan untuk menyimpan ikan Discus di dalam akuarium kerana ia tidak disenaraikan sebagai ikan terlarang atau terkawal. Discus tidak diimport dari negara lain dan Captive Bred (CB) oleh penternak komersial tempatan.

Muhammad Hazim menasihatkan, sekiranya anda baru memelihara Discus, mulakan dengan saiz akuarium yang baik iaitu tiga kaki, kerana ia suka berada dalam kumpulan.

“Pastikan air suam (kira-kira 29-30°C), pH kurang daripada tujuh dan bersih kerana Discus adalah ikan sensitif. Selain itu, berikan Discus, campuran makanan berkualiti.

“Dengan persediaan yang betul dan sedikit penjagaan, Discus boleh menjadi ikan yang menakjubkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top