Disekat di media sosial, Trump lancar platform komunikasi dalam talian

Disekat di media sosial, Trump lancar platform komunikasi dalam talian
Twitter dan Facebook menyekat bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump daripada membuat catatan susulan rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Jan. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melancarkan platform dalam talian untuk berkomunikasi dengan penyokongnya, beberapa bulan selepas banyak akaun media sosialnya disekat kerana didakwa digunakan untuk menyebarkan penipuan pilihan raya.

Dinamakan “Dari Meja Donald J. Trump”, platform itu menyamai Twitter, dan Facebook.

Twitter dan Facebook menyekat Trump daripada membuat catatan susulan rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Jan kerana dituduh menghasut, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laman web itu mengandungi catatan yang diarkibkan sejak 24 Mac, yang terbaru adalah sebuah video yang mengecam Twitter kerana menyekat Trump, semalam.

Di platform tersebut, terdapat butang tanda “suka” atau “kongsi” bagi penyokong beliau menyebarkan kandungan di Facebook dan Twitter. Penyokong juga boleh memilih untuk mendapat notifikasi apabila Trump membuat catatan.

Facebook dan Twitter menjadi dua platform utama Trump dalam dua kempen pilihan raya pada 2016 dan 2020. Sekatan di media sosial itu menghadkan cara Trump untuk berkomunikasi dengan penyokong dan wartawan, serta menghantar kenyataan media melalui e-mel.

Lembaga Pengawasan Facebook hari ini dijadual akan menentukan sama ada sekatan itu kekal atau ditamatkan.

Scroll to Top