Diselamatkan dari pasar malam, si bulus buta ajar erti kasih sayang

Diselamatkan dari pasar malam, si bulus buta ajar erti kasih sayang

SHAH ALAM – Siapa sangka seekor anak kucing yang ditemui berkeliaran di tengah kesibukan pasar malam kini menjadi perhatian ramai apabila videonya di TikTok meraih jutaan tontonan.

Pemiliknya, Raihah Nashiera, 25, berkata, dia menemui Tebi ketika anak kucing itu berusia sekitar tiga hingga empat bulan dalam keadaan kurus dan berjalan melawan arus pengunjung di sebuah pasar malam berhampiran rumahnya di Johor Bahru.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya mengalihkan anak kucing itu ke tepi jalan kerana bimbang dilanggar orang ramai, namun Tebi kembali semula ke tengah laluan yang sesak.

“Saya pun angkat dia dan apabila tengok mukanya, baru perasan matanya sakit. Saya tidak fikir panjang, terus bawa balik.

“Saya percaya Tebi dilahirkan normal, tetapi mengalami jangkitan mata dalam tempoh yang agak lama. Kemungkinan dia dibuang di pasar malam itu kerana tidak mungkin anak kucing sekecil itu dibiarkan tanpa ada sesiapa menyedari matanya sakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, video Tebi yang dikongsikan Raihah menerusi akaun TikTok @reiiinsho meraih empat juta tontonan dengan 808,700 tanda suka.

Raihah memaklumkan, cabaran terbesar ketika mula memelihara Tebi ialah memastikan persekitarannya sentiasa selamat dan tidak banyak berubah.

Beliau yang bekerja sebagai jururawat veterinar berkata, kucing buta sangat bergantung pada ingatan dan rutin untuk bergerak.

“Jadi, saya pastikan susunan barang, tempat makan dan tempat buang najis sentiasa sama supaya dia lebih yakin bergerak. Sekarang Tebi semakin yakin menggunakan deria baunya dan sekiranya saya mengubah kedudukan sesuatu barang, dia tetap boleh mencarinya,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun tidak dapat melihat, Tebi yang kini sudah berusia lebih setahun menjalani kehidupan seperti biasa, sama seperti kucing lain.

“Cuma, Tebi memang istimewa kerana boleh naik turun tangga tanpa terjatuh. Jika saya makan di dapur, dia akan datang, naik ke atas kerusi dan meminta sedikit makanan.

“Waktu bermain dengan kucing-kucing lain pun saya rasa dia tidak kurang apa-apa kerana dia memang bijak. Tebi juga manja,” kongsinya.

Raihah memaklumkan, Tebi juga suka memanjat badannya untuk tidur sejak kecil dan tabiat tersebut tidak berubah meskipun berat badannya kini melebihi empat kilogram (kg).

Selain Tebi, Raihah turut memelihara 17 ekor lagi kucing, menjadikan jumlah keseluruhannya 18 ekor.

Beliau berkata, kehadiran Tebi banyak mengubah cara dia menghargai haiwan peliharaannya.

“Saya terbayang, jika hari itu saya tidak pergi ke pasar malam atau tidak mengangkatnya untuk melihat keadaan matanya, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada Tebi sekarang.

“Saya kini akan cuba meluangkan masa sebanyak mungkin untuk bermain dengannya kerana saya tahu dia hanya ada saya,” katanya.

Raihah berharap masyarakat lebih terbuka menerima haiwan kelainan upaya dan memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan yang baik.

“Haiwan kelainan upaya juga berhak hidup seperti kucing lain dan disayangi. Kekurangan fizikal bukan bermakna mereka tidak mampu menjalani kehidupan yang baik jika diberikan penjagaan dan kasih sayang secukupnya,” katanya.

Dalam pada itu, Raihah berkata, dia langsung tidak menyangka video Tebi boleh mencecah jutaan tontonan di TikTok.

“Memang akaun TikTok saya khas untuk berkongsi gelagat kucing-kucing peliharaan termasuk Tebi. Mungkin orang suka mendengar suara manjanya apabila meminta ayam,” katanya.

Mengulas mengenai penjagaan kucing buta, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak takut atau risau dengan kekurangan yang dimiliki haiwan berkenaan.

“Dengan kesabaran, rutin yang konsisten dan perhatian yang mencukupi, kucing buta juga boleh hidup dengan sangat baik seperti kucing lain. Percayalah, kucing buta sebenarnya antara yang paling manja,” tambahnya.

Scroll to Top