Diselamatkan ketika kecil, selepas 35 tahun jadi wira

Diselamatkan ketika kecil, selepas 35 tahun jadi wira

Beijing: Seorang pesara tentera dari timur China menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada lemas di sungai yang sama di mana dia pernah diselamatkan 35 tahun lalu, lapor South China Morning Post.

Huang Daoxian, 40, dari wilayah Zhejiang sedang membersihkan rumah ibu bapanya apabila dia terdengar bunyi bising dari arah sungai berdekatan.

Dia segera berlari keluar dan melihat seorang wanita bergelut di tengah sungai, tangannya terkapai-kapai sebelum tenggelam ke dalam air.

Huang yang mahir berenang terus terjun ke dalam sungai dan mengangkat dagu mangsa sambal mengheretnya ke tebing.

Walaupun berdepan air sungai yang sejuk dan mengalami luka pada kaki akibat terkena objek tajam, Huang terus memegang erat wanita itu bagi memastikan mangsa selamat.

Beberapa orang awam yang berada di lokasi turut membantu membawa wanita terbabit ke daratan sebelum pasukan penyelamat mengejarkannya ke hospital.

Beberapa hari kemudian, anak perempuan mangsa dikenali sebagai Hu datang menemui Huang untuk mengucapkan terima kasih dan memaklumkan bahawa ibunya semakin pulih.

Sambil mengalirkan air mata, Hu memegang tangan Huang dan berkata, jika bukan kerana tindakan berani lelaki itu, dia mungkin sudah kehilangan ibunya.

Huang kemudian berkongsi memori 35 tahun lalu di sungai yang sama apabila dia yang ketika itu berusia lima tahun terjatuh ke dalam air ketika bermain pada hari hujan.

Seorang lelaki warga emas yang kebetulan melalui kawasan itu menyelamatkannya ketika dia dihanyutkan ke tengah sungai dan lelaki terbabit kemudiannya menjadi rakan karib keluarganya.

Katanya, memori diselamatkan semasa kecil masih segar dalam ingatannya dan dia ingin meneruskan kebaikan yang pernah diterimanya itu kepada orang lain yang memerlukan.

Kerajaan tempatan kini mengiktiraf Huang sebagai contoh teladan atas keberaniannya manakala kisahnya tular di media sosial China dengan meraih lebih lima juta tontonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top