'Diserang sawan…'

'Diserang sawan…'

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pasangan suami isteri kecewa apabila bayi perempuan mereka mengalami sawan akibat terjatuh daripada katil bayi di perkarangan Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pertengahan bulan lalu.

Bapa bayi terbabit, Muhammad Syarifuddin Manan, 24, mendakwa bayi perempuannya terjatuh daripada katil bayi ketika proses pemindahan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, bayinya kini yang berusia 41 hari menghidap kuning sebelum dipindahkan untuk rawatan.

Katanya, katil yang memuatkan bayinya yang berusia dua hari itu ditinggalkan tanpa pengawasan di kawasan jalan cerun menurun di laluan PRIBA dan Unit Kecemasan HSNZ oleh seorang jururawat.

“Katil bayi itu secara tiba-tiba hilang keseimbangan dan terus menggelongsor dan terbalik menyebabkan bayi kami terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, semalam.

Terdahulu, Muhammad Syarifuddin bersama peguamnya, Mohd Hazwan Hamidun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Muhammad Syarifuddin dan pasangannya, Wan Nur Farisyatu Ikmal Wan Fadali, 22, yang juga guru berkahwin pada tahun 2022 dan bersalin di PRIBA HSNZ pada 15 November lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Syarifuddin berkata, kepala bayi perempuannya terhantuk pada permukaan jalan di perkarangan PRIBA.

Berikutan kejadian itu, katanya, anak sulungnya mengalami pendarahan di kepala dan sering mengalami sawan.

“Bayinya dimasukkan ke HSNZ sebanyak tiga kali iaitu pada 17 November sehingga 4 Disember lalu.

“Kami juga sudah membuat laporan polis kali pertama pada 17 November lalu dan kali kedua pada hari ini,” katanya.

Ketika ditanya tindakan daripada HSNZ, Muhammad Syarifuddin berkata, pengurusan hospital mengesahkan bayi itu terjatuh, tetapi menafikan kecuaian jururawat dan mendakwa kemalangan itu berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak rata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top