Disiplin dan kualiti kerja bantu Hanna Aqeela dapat kepercayaan penerbit

Disiplin dan kualiti kerja bantu Hanna Aqeela dapat kepercayaan penerbit

am@hmetro.com.my

Kajang: Pelakon, Hanna Aqeela, 36, menyangkal dakwaan apabila sering dilabel sebagai ‘anak emas’ kerana kerap berlakon dengan syarikat penerbitan yang sama.

Hanna atau pemilik nama Hanna Aqeela Mohd Rosni menjelaskan, gelaran itu tidak memberi makna sekiranya seseorang pelakon tidak mampu memberikan hasil kerja berkualiti kepada pihak produksi.

“Sebenarnya bagi saya apa yang penting adalah kita mendapat tawaran kerja. Kalau orang kata kita ‘anak emas’ sekalipun, tapi jika kita sendiri tak ‘perform’, produksi pun tak mahu ambil lagi.

“Siapa sahaja yang sanggup bayar orang yang tak boleh buat kerja? Saya percaya sesebuah produksi itu memilih kita untuk berlakon dalam sebuah drama adalah berdasarkan faktor disiplin, sikap dan juga kualiti lakonan kita. Benda-benda ini sangat penting untuk dijaga,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hanna lagi, dia percaya keperibadian dan kemudahan untuk bekerjasama menjadi kunci utama mengapa seseorang pelakon itu sering dipanggil dalam mana-mana syarikat penerbitan.

“Saya percaya mana-mana produksi pun pasti suka bekerja dengan orang yang senang memberikan kerjasama dan yang paling penting kita kena jaga kualiti kerja dan disiplin diri,” kongsinya.

Sementara itu, selain naskhah yang berkualiti, faktor keselesaan dan barisan pelakon yang mantap menjadi pendorong utama buat Hanna untuk menerima tawaran berlakon dalam drama terbaharu berjudul Pak Su Ammara terbitan Global Station Sdn Bhd.

Hanna berkata, hubungan baik yang sedia terjalin dengan syarikat produksi berkenaan serta pengarah drama itu memudahkan keputusannya untuk menerima tawaran berkenaan.

“Pertama sekali, tawaran untuk berlakon dalam drama ini datang daripada Global Station Sdn Bhd. Saya memang sudah biasa bekerjasama dengan mereka sebelum ini, jadi sudah ada keserasian di situ.

“Yang kedua adalah kerana saya dah terbiasa bekerja dengan pengarah yang mengendalikan drama ini iaitu Azri Izhar yang membuatkan proses kerja menjadi lebih lancar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top