Disisihkan Chelsea tapi menangi hati model jelita Colombia

Disisihkan Chelsea tapi menangi hati model jelita Colombia

London: Bintang Chelsea, Joao Felix, mungkin bergelut di atas padang tetapi di luar padang, dia dilihat ‘menang besar’ apabila dikaitkan dengan seorang model Colombia yang menawan.

Bintang Portugal itu dilaporkan bergelut untuk menjaringkan gol dalam beberapa bulan kebelakangan ini, namun nampaknya dia berjaya menambat hati Valentina Rueda Velez.

Felix yang menghabiskan separuh musim lalu secara pinjaman bersama Milan, dilihat menikmati percutian musim panas bersama wanita jelita tersebut.

Valentina seorang model profesional, mula meraih kemasyhuran dan kekayaan di negaranya selepas muncul dalam rancangan temu janji Netflix, Too Hot to Handle, tahun lalu.

Wanita berambut perang gelap itu berkongsi beberapa video bersama pemain bola sepak itu di media sosial, namun ia kemudiannya telah dipadam.

Dia mempunyai lebih daripada 133,000 pengikut di platform tersebut di mana dia sering memaparkan gaya hidup mewahnya.

Foto-foto terbaharu menunjukkan Valentina mempamerkan bentuk tubuhnya menggoda serta wajah menawannya dari pelbagai lokasi di seluruh dunia.

Terdapat laporan pada Oktober lalu bahawa Valentina pernah rapat dengan bintang Too Hot to Handle, Harry Jowsey, selepas mereka dilihat bersama dalam sebuah kereta berwarna oren.

Mereka dikatakan mula rapat sejak Ogos tahun lalu selepas muncul bersama dalam video TikTok, walaupun tidak pernah berinteraksi secara langsung dalam rancangan Netflix tersebut.

Felix dilaporkan masih bujang sejak hubungannya dengan pelakon Margarida Corceiro berakhir pada 2023.

Margarida kini dilaporkan menjalinkan semula hubungan dengan pelumba F1, Lando Norris yang disokongnya di Grand Prix Monaco bulan lalu.

Dari segi prestasi di padang, Felix terus berdepan kesukaran malah dia tidak disenaraikan dalam skuad Chelsea untuk Piala Dunia Kelab. Lebih memeritkan, jersi nombor 14 miliknya telah diberikan kepada pemain baharu, Dario Essugo.

Felix menyertai Chelsea musim panas lalu dengan nilai perpindahan sekitar £42 juta (RM241 juta), dan kontraknya bersama kelab itu akan tamat pada musim panas 2031.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top