Diskaun tol 50 peratus dilaksana sepanjang musim perayaan

Diskaun tol 50 peratus dilaksana sepanjang musim perayaan

am@hmetro.com.my

Sekinchan: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan pemberian diskaun tol 50 peratus akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu lawatan ke lokasi tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, di sini hari ini.

“Tahun lalu, memang Kabinet telah memutuskan untuk selaraskan pemberian subsidi supaya lebih tersasar kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Jadi, keputusan itu memang tetap dan tak ada lagi pada tahun ini (tol percuma). Seperti sedia maklum, minggu lepas Tahun Baru Cina bukan diberi tol percuma tetapi diskaun 50 peratus.

“Disebabkan itu, Aidilditri dan perayaan lain tahun ini kita akan buat diskaun 50 peratus,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memberi potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.

Nanta Linggi dilapor berkata, potongan tol dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam 27 Januari dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.

Keputusan itu, katanya ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet pada 24 Januari lalu membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Dalam perkembangan sama, Nanta Linggi memaklumkan Kabinet boleh memutuskan dan bertukar pandangan mengikut keperluan.

“Semua tol dibiayai oleh kerajaan dan bukan dibiayai syarikat konsesi. Saya berharap rakyat tahu akan perkara ini (duit rakyat dibelanjakan).

“Kalau tol percuma, kita menggunakan lebih RM 100 juta setahun. Jika diskaun 50 peratus, kira-kira RM 80 juta kerajaan akan bayar kepada syarikat konsesi dan penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top