am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jemaah Menteri bersetuju memberi diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina sebagai inisiatif membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat pada musim perayaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pengumuman lanjut mengenai potongan kadar tol itu akan diumumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini membuat keputusan mengenai pemberian diskaun tol sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kementerian Kerja Raya akan membuat pengumuman dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta membantu rakyat membuat keputusan mengenai tarikh ataupun waktu yang sesuai untuk pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Katanya, butiran penuh termasuk kelas kenderaan dan jumlah diskaun itu akan dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina bermula 13 hingga 21 Februari ini.
“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa
SHMMP selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari sepanjang Tahun Baharu Cina.
“Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina, yang bertujuan memastikan kestabilan harga serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga barangan secara tidak munasabah terutama pada musim perayaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




