rnoraina@hmetro.com.my
Ampang: Penunggang motosikal ditahan polis selepas disyaki menggunakan lesen memandu kompeten (CDL) palsu.
Taktik lelaki berusia 31 tahun itu berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semasa pemeriksaan di Jalan Pandan Utama di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki itu ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan kira-kira 10 malam.
Beliau berkata, semakan awal mendapati lelaki terbabit memiliki lesen memandu kelas B2, D dan E iaitu lesen motosikal, kereta serta lori.
“Namun semakan menggunakan peranti Mobile Card Operation System (MCOPS) dan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati tiada rekod sah berkaitan nombor lesen yang dikemukakan.
“Soal siasat dilakukan suspek mengaku menggunakan lesen memandu palsu. Dia mendakwa membelinya melalui aplikasi dalam talian dengan harga RM2,700,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd