Ditahan kurang 24 jam selepas polis terima aduan kes rogol

Ditahan kurang 24 jam selepas polis terima aduan kes rogol

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan remaja perempuan di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan pada 12.54 tengah malam oleh sepasukan anggota Balai Polis Bombalai di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung terbabit.

Sebelum itu katanya, pihaknya menerima laporan kejadian pada 12.08 tengah malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 pagi, 11 Februari lalu di sebuah rumah, dengan mangsa berusia 15 tahun mendakwa suspek, yang juga teman lelaki kepada sepupunya, telah masuk ke dalam bilik tanpa disedari.

“Suspek didakwa mencabul dan memaksanya melakukan hubungan selain turut mengugut untuk mengancam ahli keluarga mangsa hingga remaja itu ketakutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, suspek disyaki PATI warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top