Ditahan selepas disyaki guna empat IC untuk isi minyak lebih 100 liter

Ditahan selepas disyaki guna empat IC untuk isi minyak lebih 100 liter

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Polis menahan lelaki disyaki menggunakan kad pengenalan milik empat individu bagi membeli lebih 100 liter petrol, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tumpat.

“Ketika ditahan, polis menemui empat kad pengenalan dalam milikannya. Dia dipercayai menggunakan kad pengenalan milik individu berbeza untuk membeli lebih 100 liter petrol,” katanya kepada pemberita selepas melawat sempadan di sini, hari ini.

Yusoff berkata, kes itu sudah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain suspek turut disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara.

“Polis juga akan meneliti peruntukan undang-undang lain yang sesuai untuk diambil tindakan terhadap suspek,” katanya.

Mengulas sama ada terdapat kes rakyat Malaysia membeli diesel di negara jiran dan masuk ke Kelantan melalui laluan tidak sah, susulan krisis Asia Barat, Yusoff berkata, setakat tiada kes sedemikian dikesan.

“Kita tidak menahan mana-mana rakyat Malaysia yang cuba membawa masuk diesel dari seberang sempadan,” katanya.

Diesel di negara jiran dijual sekitar 38 baht (RM4.82) seliter, menjadikannya lebih murah berbanding di Malaysia yang ditetapkan pada kadar RM6.02 seliter hingga 8 April bagi Semenanjung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top