Ditanam 3 kali pusingan

Ditanam 3 kali pusingan

hafizithnin@mediaprima.com.my

SIAPA sangka daripada kegemaran makan jagung mendorong Nursyafiq Mohd Nordin, 38, bergelar pengusaha tanaman itu secara serius sejak dua tahun lalu.

Mengenai latar belakangnya, Nursyafiq sebenarnya seorang kontraktor pembinaan dan pernah mengusahakan tanaman cili secara fertigasi secara separuh masa. Namun, tanaman diusahakan itu hanya bertahan selama setahun antara 2016 hingga 2017.

Melihat kepada potensi industri pertanian, Nursyafiq mula menceburi bidang menjual barangan pertanian yang sudah diusahakan sejak tujuh tahun lalu dan masih menjadi pemain industri itu.

Katanya, selain seorang yang gemar makan jagung manis, usahanya bermula ketika berlakunya pendemik Covid-19 apabila ramai pengusaha tanaman itu mula berhenti mengusahakannya.

“Sebelum ini saya hanya menjadi pembekal barangan keperluan pertanian kepada pengusaha tanaman jagung itu.

“Apabila melihat tanaman ini mempunyai potensi besar saya nekad untuk mengambil alih perusahaan itu.

“Kini saya mempunyai 1.2 hektar (tiga ekar) tanah yang dipajak untuk mengusahakan tanaman jagung manis di Pontian, Johor. Sebenarnya saya juga tidak pernah mengikuti sebarang kursus dan hanya mempelajarinya daripada rakan sahaja,” katanya.

Jelasnya, jagung manis yang diusahakannya mengambil masa kira-kira 65 hari untuk matang dan dia menanamnya tiga kali pusingan dalam tempoh setahun bagi memastikan bekalan jagung sentiasa berterusan.

“Menariknya mengenai tanaman jagung manis ini kerana ia mempunyai permintaan tinggi di pasaran dan bukan sahaja untuk penggemarnya, tetapi boleh dijual kepada pengusaha ternakan.

“Jadi, usaha tanaman jagung ini bagi saya amat berbaloi dan setiap kali satu pusingan tanaman yang sudah matang, ia habis dijual di pasaran. Malah, permintaannya boleh dikatakan tinggi,” katanya.

Katanya, jagung yang dituai hasilnya mempunyai gred iaitu A, B dan C. Setiap gred dijual pada harga berbeza iaitu gred A lebih mahal kerana ia mempunyai kualiti buah yang lebih baik.

“Bagi tanaman jagung ini saya menjualnya mengikut bilangan buah dan tidak dijual secara timbang. Contohnya, untuk jagung gred A saya jual kepada pemborong pada RM1 sebiji dan gred B dan C pula lebih rendah.

“Jadi pada satu pusingan tanaman saya mampu mengutip hasil sekitar 10,000 tongkol jagung pelbagai gred hasil ditanam di atas tanah tiga ekar ini,” katanya.

Jelasnya, tanaman jagung ini juga mempunyai cabaran tersendiri terutama jangkitan kulat dan serangan serangga yang boleh merosakkan pokok dan perlu menggunakan racun bagi mengelakkannya.

“Paling membimbangkan pastinya serangan Fall Army Worm (FAW) kerana ulat ini menyerang pucuk, batang dan buah jagung. Saya sendiri pernah mengalaminya tetapi masih dalam keadaan terkawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top