
Rafizi dan hantaran di Facebook pada Sabtu.
SHAH ALAM – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa beliau dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berdepan tekanan berterusan daripada jentera parti sehingga membawa kepada keputusan mereka meninggalkan parti itu.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, sepanjang tempoh setahun lalu, pelbagai tekanan dan serangan diterima termasuk melibatkan ahli keluarga beliau.
“Setahun penuh mereka gunakan jentera parti untuk mendesak saya dan Nik (Nazmi) keluar.
“Setiap hari tekanan dan caci maki. Dalam kes saya, sampai anak saya turut diserang. Perkara seperti ini tak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia. Perbezaan politik sampai budak pun jadi sasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut mendakwa, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memecat mereka secara langsung kerana bimbang membuka ruang kepada gerakan tebuk atap.
Oleh itu menurutnya, Anwar membiarkan orang bawahan yang melaksanakan kerja ‘kotor’.
“Bila kami akhirnya keluar, tiba-tiba cerita bertukar. Kami pula dituduh pengkhianat. Yang paling kuat menjerit ‘khianat’ itu (ialah) Sangeetha Jayakumar. Rekod keluarga dia sendiri pun rakyat tahu.
“Tapi yang paling bermakna bagi saya bukan serangan itu. Yang penting, rakyat akhirnya dapat susun sendiri semua kepingan cerita,” ujarnya.
Rafizi turut menyifatkan tuduhan pengkhianat yang dilemparkan terhadapnya dan Nik Nazmi selepas keluar parti sebagai tidak berasas.
Malah katanya, layanan diterima sepanjang berada dalam PKR sebelum ini akhirnya membantu rakyat memahami sebab sebenar mereka mengambil keputusan tersebut.
“Setahun layanan PKR terhadap kami sebenarnya melengkapkan ‘puzzle’ untuk rakyat faham kenapa kami buat apa yang kami buat.
“la tak pernah tentang Anwar Ibrahim. la tentang orang biasa yang kami kenal sepanjang 25 tahun ini,” katanya.



