Dittok mahu bantu suri rumah jana pendapatan sendiri

Dittok mahu bantu suri rumah jana pendapatan sendiri

MELAKA – Cabaran ekonomi hari ini mendorong sebuah kelab untuk membantu masyarakat termasuk suri rumah menjana pendapatan sendiri melalui platform kandungan di media sosial.

Pengerusi kelab Dermawan Ilmu Tiktok (Dittok), Nur Naziha Derahman berkata, idea berkenaan timbul selepas melihat peluang menjana pendapatan melalui platfom digital boleh dinikmati sesiapa sahaja tanpa sempadan.

“Melalui Dittok dengan pendftaran RM20 dan yuran tahunan RM30, kita akan bantu ahli menjana pendapatan selepas mengikuti kelas selain turut mendapat kebajikan khairat kematian.

“Sasaran kita adalah sesiapa sahaja yang mahu belajar tanpa ada sempadan kaum, bangsa dan had umur walaupun mereka tidak mempunyai produk fizikal,” katanya.

Eyha Derahman

Nur Naziha atau dikenali Eyha Derahman berkata demikian selepas perasmian Majlis Santuni TikTok Madani anjuran Dittok dan perasmian Sarasera Homestay Bukit Katil yang disempurnakan pelakon dan usahawan popular, Fizo Omar, semalam.

Turut hadir usahawan popular TikTok, Bosskay dan pencipta kandungan, Fathirah Adnan.

Mengulas lanjut Eyha berkata setakat ini, Dittok mempunyai hampir 100 keahlian terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang pekerjaan.

Fizo Omar menandatangani plak perasmian Majlis Santuni TikTok Madani anjuran Dittok dan perasmian Sarasera Homestay Bukit Katil, Melaka, semalam.

“Semua mereka ini akan diajar dari awal hingga akhir bagaimana untuk menjadi pencipta kandungan berkualiti, menjual produk sehinggalah mampu menjadi pempengaruh sejajar dengan dunia digital hari ini.

“Apabila sudah berjaya, mereka pula akan memberi pulangan kepada masyarakat seperti dilakukan Sarasera Homestay yang memberi potongan harga pakej penginapan tiga hari dua malam,” katanya.

Tambahnya, inap desa itu turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah televisyen 64 inci dan baucer penginapan RM500 kepada pelanggan yang memenuhi syarat. – MalaysiaGazette