Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui berasa bersalah kerana pernah menggalakkan bekas Menteri Pendidikan Indonesia, Kebudayaan, Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim untuk menyertai dunia politik dan perkhidmatan awam.
Tinggalkan syarikat demi rakyat
Menerusi satu hantaran di media sosial, Syed Saddiq menyatakan beliau sedih melihat Nadiem yang sebelum ini meninggalkan syarikat bernilai berbilion dolar demi berkhidmat kepada rakyat Indonesia kini berdepan tuduhan rasuah dan tekanan undang-undang.
“Saya berasa sedikit bersalah.
“Kerana saya antara individu yang menggalakkan anda menyertai perkhidmatan awam,” tulisnya.
Akui galak Nadiem sertai politik
Menurut Syed Saddiq, beliau masih mengingati pertemuan mereka pada tahun 2019 apabila dirinya meminta Nadiem yang merupakan pendiri perkhidmatan teksi motosikal untuk membonceng, GOJEK bagi mempertimbangkan untuk menyertai politik kerana percaya ASEAN memerlukan lebih ramai reformis muda dan individu berani membawa perubahan.
“Saya memberitahu bahawa ASEAN amat memerlukan lebih ramai anak muda yang berani membawa perubahan.
“Lebih ramai reformis dan individu yang sanggup menggoncang sistem politik lama,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mempertahankan Nadiem dengan menyifatkan orang baik tidak sepatutnya berputus asa dalam politik walaupun berdepan pelbagai tekanan dan tuduhan.
“Orang baik tidak boleh berputus asa dalam politik.
“Kerana apabila orang baik berundur, golongan korup akan menang,” ujarnya lagi.

Kebenaran pasti akan tiba
Beliau yang turut pernah melalui proses mahkamah berkata dirinya memahami kesakitan yang sedang dihadapi sahabatnya itu dan percaya kebenaran akhirnya akan terbukti.
“Kebenaran mungkin lambat.
“Tapi kebenaran tidak mati,” katanya.
Info, Nadiem Makarim atau Nadiem Anwar Makarim berdepan hukuman penjara 18 tahun atas dakwaan rasuah membabitkan perolehan komputer riba Chromebook dan sistem Chrome Device Management (CDM).
Tuntutan itu dikemukakan pihak pendakwaan dalam prosiding di Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat pada Rabu.




