mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tertekan dengan kecaman dan tuduhan liar yang mencemarkan reputasinya, pelakon Alya Iman membuat laporan polis susulan dakwaan mengaitkan dirinya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.
Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, berkata, tuduhan tidak berasas yang tular di media sosial itu bukan sahaja menjejaskan imejnya sebagai anak seni, malah memberi tekanan besar terhadap kesihatan mentalnya.
Akibat daripada isu itu, Alya mendakwa menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci serta melabel dirinya.
“Segala tuduhan terbabit adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat
“Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas dalam media sosial berlaku tanpa sebarang bukti yang sah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di InstaStory miliknya, hari ini.
Menurut Alya, laporan polis dibuat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, malah sebagai satu bentuk peringatan kepada individu yang sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu tanpa bukti.
“Sebagai langkah mempertahankan diri dan maruah saya, saya mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.
“Saya juga berharap agar tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Alya menegaskan, tindakannya itu adalah satu usaha untuk mengingatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap apa yang disebarkan, terutama dalam dunia media sosial yang pantas menyebarkan maklumat yang belum tentu benar.
“Saya tidak menafikan bahawa saya bukanlah insan yang sempurna. Namun, apa yang berlaku di masa silam biarlah menjadi pengajaran.
“Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik. Akhir kata, saya mendoakan agar semua pihak yang terlibat akan diberkati dan diredai Allah SWT,” katanya.
Pelakon itu turut memuat naik gambarnya mengenakan kebaya hijau ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kemelut rumah tangga Zizi dan Yusuf.
© New Straits Times Press (M) Bhd