Dituduh tidak sokong Palestin, ibu bapa Naim Daniel diugut bunuh

Dituduh tidak sokong Palestin, ibu bapa Naim Daniel diugut bunuh

KUALA LUMPUR –  Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel membuat laporan polis susulan ibu bapanya menerima ugutan bunuh oleh seorang pengguna akaun Instagram.

Muhammad Naim Daniel Baharin atau dikenali Naim memberitahu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Semenyih awal pagi tadi.

Katanya, dia kemudian dipanggil pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan untuk diambil keterangan.

Menerusi tangkap layar dikongsikan Naim, pengguna dengan nama akaun @syxmzxk itu menyatakan ‘ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.’

Naim menjelaskan, komen daripada pengguna itu merupakan salah satu kecaman yang diterima berikutan salah faham orang ramai terhadap keluhannya mengenai isu Blockout 2024.

“Hanya kerana saya berpesan agar jangan melampau dalam memboikot, ia melarat sehingga perlu menghina perkara yang tiada kaitan dengan perkara yang diboikotkan.

“Saya pesan jangan bersifat ghuluw atau melampau sehingga mewujudkan cabang dosa di saat kita melakukan sesuatu atas nama kebaikan,” katanya dalam satu hantaran semalam.

Dalam masa sama, Naim memberitahu, dia tidak pernah menafikan kesengsaraan serta kezaliman yang menimpa rakyat Palestin.

Dia menegaskan sama sekali tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah daripada jenama yang menyokong Israel.

Gerakan ‘blockout’ atau menyekat media sosial mana-mana selebriti dibuat terhadap mereka yang berdiam diri mengenai serangan ke atas Palestin atau mempromosi jenama yang jelas menyokong zionis. – MalaysiaGazette