Pelakon Fathia Latiff enggan mengambil pusing terhadap pandangan orang ramai mengenai perubahan wajahnya.
Kata Fathia, segala kritikan mahupun pujian yang diterima adalah pendapat masing-masing, sekaligus memaklumkan faktor utama perubahan tersebut adalah kerana peningkatan usia.
“Itu pendapat masing-masing. Bagi saya sama sahaja. Mungkin faktor umur juga punca yang menyebabkan perubahan wajah.
“Dan, saya tak marah jika ada yang mengakui perubahan itu kerana itu pendapat masing-masing. Saya terima sahaja,” katanya.
Fathia berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media drama Bidaah di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Rabu.
Mengulas lanjut, teraju utama drama popular Ariana Rose ini mengaku ada melakukan rawatan pada wajahnya.
Namun, ia bukanlah rawatan yang ekstrem.
“Dulu sebab saya ada eyebag, jadi saya buat rawatan eyebag. Selain itu, saya juga ada buat rawatan licinkan kulit. Rawatan yang ekstrim itu tak ada,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fathia berkongsi bahawa sekarang ini dia jarang memuat naik hantaran atau membaca komen di media sosial demi menjaga kesihatan mentalnya.
“Saya hanya berkongsi hantaran berkaitan kerja sahaja, selebihnya saya jarang menggunakan media sosial. Ini adalah cara saya menjaga kesihatan mental,” ujarnya.
Selain Fathia, drama rantaian 15 episod berjudul Bidaah yang mengangkat tema ajaran sesat turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Riena Diana, Fattah Amin, Vanida Imran, Fazlina Ahmad Daud, Hasnul Rahmat, dan Malia Baby.
Drama Bidaah bakal ditayangkan di platform penstriman popular, Viu, bermula pada 6 Mac ini.




