am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Anak tunggal menjadi pembakar semangat seorang graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkannya dalam masa 11 tahun.
Walaupun tertangguh selama dua tahun berikutan anak perempuannya itu diuji dengan masalah pendarahan dalam otak, namun Nurfarhain Mohamed Rusli, 40, berjaya memperoleh PhD Kejuruteraan Awam.
Beliau berkata, perjalanan menyambung pengajian PhD itu memang amat mencabar kerana perlu membahagikan masa antara kerja sepenuh masanya sebagai Pegawai Penyelidik di Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) UTM dan rawatan anaknya selain diuji dengan masalah perceraian pada 2023.
“Saya mula kerja di UTM pada 2009 dan kemudian sambung PhD pada 2014.
“Pada 2018, anak saya, Aira Nur Medina Abdul Hafiz ketika itu berusia lima bulan kritikal kerana pendarahan dalam otak dan sebulan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sepanjang sakit itu, dia perlu menjalani rawatan susulan dengan lapan pakar, sebab itu saya tidak dapat fokus dengan pengajian selama hampir dua tahun.
“Alhamdulillah, pada usia dia tiga tahun, anak saya disahkan sihat dan kini usianya mencecah tujuh tahun.
“Dialah pendorong semangat saya untuk habiskan belajar,” katanya ketika ditemui selepas sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM di sini, hari ini.
Nurfarhain berkata, semua ujian yang dihadapinya selama ini tidak dijadikan penghalang untuk terus berjaya.
Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, dengan PhD yang diperoleh, beliau akan terus menabur bakti di UTM.
Wanita tabah itu sebelum ini menggenggam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Sivil di UTM.
Beliau antara 732 graduan PhD yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah doktor falsafah itu pada Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM.
© New Straits Times Press (M) Bhd
