Dividen Akaun 3 pacu pertumbuhan simpanan persaraan pencarum

Dividen Akaun 3 pacu pertumbuhan simpanan persaraan pencarum

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perancangan persaraan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat kekal stabil walaupun berlaku turun naik kadar dividen, termasuk pulangan yang membabitkan Akaun 3.

Akaun 3 atau Akaun Fleksibel adalah komponen baharu dalam struktur akaun KWSP yang diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pencarum membuat pengeluaran pada bila-bila masa sekiranya memerlukan dana kecemasan.

Di bawah penstrukturan semula akaun KWSP, caruman bulanan diagihkan kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 (10 peratus).

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, perubahan kadar dividen untuk caruman Akaun 3 tidak memberi kesan besar terhadap perancangan persaraan jangka panjang kebanyakan pencarum.

Katanya, ini kerana Akaun 3 lazimnya berfungsi sebagai dana kecemasan bagi menampung keperluan jangka pendek, manakala simpanan utama untuk persaraan masih tertumpu kepada Akaun 1 dan Akaun 2.

“Selagi Akaun 1 dan Akaun 2 tidak diusik, perancangan persaraan jangka panjang pencarum masih berada pada landasan yang selesa.

“Namun, bagi pencarum yang jarang atau tidak menggunakan Akaun 3, turun naik dividen akaun itu tetap memberi impak positif kepada jumlah simpanan persaraan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Bisnes Metro.

Dalam masa sama, beliau berkata, dividen KWSP yang diumumkan, walaupun pada kadar sama seperti tahun sebelumnya, masih memberi kesan positif kepada pertumbuhan keseluruhan simpanan pencarum.

Katanya, kaedah pengiraan agihan dividen yang kini mengambil kira baki purata harian dalam setiap akaun menjadikan sistem sedia ada lebih adil berbanding kaedah agihan secara pukal sebelum ini.

“Kaedah ini amat menguntungkan pencarum yang tidak pernah atau jarang membuat pengeluaran daripada Akaun 1, 2 atau 3 kerana nilai dividen yang diterima lebih tinggi berdasarkan baki sebenar simpanan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga mampu menggalakkan pencarum untuk mengekalkan simpanan mereka dalam KWSP sehingga tempoh persaraan.

Dalam usaha memaksimumkan faedah daripada dividen Akaun 3, beliau menyarankan pencarum mempertimbangkan strategi pelaburan berhemah, terutama dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu.

Beliau turut menasihatkan pencarum yang sudah mengeluarkan sepenuhnya simpanan Akaun 3 supaya lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

“Bagi mereka yang benar-benar terdesak, gunakan dana itu hanya untuk keperluan mendesak dan bukan perbelanjaan bersifat kehendak.

“Manakala bagi pencarum yang tidak terdesak, Akaun 3 boleh dimanfaatkan sebagai modal pelaburan berisiko rendah tetapi selamat bagi memastikan nilai persaraan terus berkembang pada masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top