Melbourne: Novak Djokovic mengakui bernasib baik selepas lawannya, Lorenzo Musetti terpaksa menarik diri akibat kecederaan, hari ini, sekali gus memastikan legenda Serbia itu ke separuh akhir Terbuka Australia buat kali ke-13 dalam kariernya.
Kemaraan itu bermakna Djokovic, 38, akan berentap dengan juara bertahan, Jannik Sinner di separuh akhir.
Djokovic yang memburu rekod sepanjang zaman gelaran Grand Slam ke-25, seolah-olah mendapat tuah apabila nasib memihak kepadanya.
Lawannya di pusingan 16 terakhir, Jakub Mensik menarik diri sebelum perlawanan bermula, manakala Musetti pula terpaksa menarik diri ketika pemain Itali itu mendahului 6-4, 6-3, 1-3 di Rod Laver Arena.
Musetti selaku pilihan kelima berada dalam kedudukan terbaik sebelum memerlukan rawatan pada bahagian atas kaki kanan dan dengan pergerakannya jelas terjejas, dia terpaksa mengalah dengan berat hati.
“Saya benar-benar simpati kepadanya, dia pemain yang jauh lebih baik, saya sebenarnya sudah hampir pulang malam ini,” kata Djokovic yang tampil luar biasa dengan banyak kesilapan dan berada dalam tekanan.
“Ia pernah berlaku kepada saya beberapa kali. Dia menguasai perlawanan sepenuhnya.
“Sangat malang, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan.
“Dia sepatutnya menjadi pemenang hari ini tanpa ragu. Saya amat bernasib baik untuk mara hari ini.”
Djokovic masih berusaha melepasi rekod Margaret Court dan merangkul gelaran ke-25 sejak kejuaraan utama terakhirnya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2023.
Usaha itu semakin mencabar dengan kebangkitan Sinner dan pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz.
Djokovic yang memerlukan rawatan semasa perlawanan akibat lepuh yang teruk menambah: “Saya akan menggandakan doa dan kesyukuran saya malam ini kepada Tuhan kerana memberi saya peluang ini sekali lagi.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




