Djokovic bangga semangat juang rakan-rakan sepasukan

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic nyata berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan skuad Piala Davis Serbia hingga mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Davis 2021.

Menurut Djokovic, semangat juang dipamerkan skuad Serbia agak luar biasa kali ini dan diharapkan ia bakal berterusan pada aksi separuh akhir, berdepan Croatia, pada Jumaat.

“Ya, saya cukup bangga dengan semangat melawan yang ditunjukkan oleh pasukan ini, walaupun mengalami kekalahan pada set tertentu, tetapi kemudiannya berjaya bangkit bagi mencatatkan kemenangan.

“Saya juga cukup berbangga dengan rakan-rakan sepasukan dan bagi saya, pasukan ini memang berhak untuk berada di separuh akhir Piala Davis kali ini.

“Oleh itu, saya berharap kecemerlangan ini berterusan pada separuh akhir dan seterusnya dapat memastikan slot beraksi di final,” katanya.

Untuk rekod Serbia menewaskan Kazakhstan 2-1 di Madrid pada Khamis yang turut menyaksikan Djokovic beraksi bagi acara perseorangan lelaki dan juga beregu lelaki.

Djokovic menewaskan Alexander Bublik 6-3, 6-4 manakala dalam acara beregu, Djokovic serta gandingannya, Nikola Cacic menewaskan Andrey Golubev-Aleksandr Nedovyesov, 6-2, 2-6, 6-3.

Dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki, pemain Serbia, Miomir Kecmanovic tewas 6-7 (5), 6-4, 6-7 (11) kepada Mikhail Kukushkin.

Sementara itu bagi mengulas kemenangan berkenaan, Cacic mengakui turut berbangga apabila dapat bergandingan dengan Djokovic buat kali ketiga dan ia menghasilkan kejayaan.

“Ini adalah kali ketiga kami bergandingan dalam acara beregu lelaki dan saya dapat rasakan aksi kami semakin baik.

“Biarpun tewas pada set kedua, tetapi kami kembali bangkit pada set ketiga dan berjaya menewaskan gandingan pemain Kazakhstan itu,” katanya.