Basel: Novak Djokovic menerima tiket wildcard ke kejohanan Swiss Indoors Basel sekali gus membuka laluan untuk penampilan pertamanya di kejohanan itu sejak 2011 ketika juara 24 gelaran Grand Slam berkenaan memburu tempat ke Final ATP dan gelaran ke-103 dalam kariernya.
Pemain Serbia berusia 39 tahun itu tiba di Switzerland selepas mengharungi aksi bercampur-campur dalam siri kejohanan Asia dengan mencatatkan rekod baharu apabila merangkul kejuaraan Terbuka China buat kali ketujuh, sebelum mengalami kekalahan mengejut pada pusingan kedua Masters Shanghai kepada pemain Poland, Hubert Hurkacz.
Djokovic sebelum ini memenangi Masters Shanghai sebanyak empat kali, rekod tertinggi kejohanan itu.
Musim ini menyaksikan prestasi bekas pemain nombor satu dunia itu tidak konsisten mengikut standard tinggi yang ditetapkannya sendiri. Dia tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS), kekalahan paling awalnya dalam kejohanan Grand Slam sejak Terbuka Australia 2006.
Keputusan Djokovic menambah Basel dalam jadualnya agak mengejutkan selepas dia berkata sejurus tersingkir awal di Shanghai bahawa dia hanya merancang menyertai Masters Paris dari 2 hingga 8 November sebelum Final ATP yang menutup tirai musim ini.
Kejohanan Basel memberikan peluang kepada Djokovic untuk mengukuhkan peluang memburu penampilan ke-17 di Final ATP.
Ketika ini, dia berada di tangga ke-11 dalam perebutan tempat ke final ATP di Turin dan perlu menamatkan saingan dalam kelompok sembilan pemain terbaik untuk melayakkan diri, dengan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, diketepikan bagi baki musim 2026 akibat kecederaan lutut berpanjangan.
Djokovic bakal membuat penampilan keempat di Basel selepas menjulang trofi pada 2009 dengan menewaskan jaguh Switzerland, Roger Federer, pada aksi final.
Dia menyertai barisan pemain ternama yang turut membabitkan pemain Kanada, Felix Auger-Aliassime serta wakil Amerika Syarikat, Ben Shelton dan Taylor Fritz, dalam kejohanan gelanggang keras tertutup kategori ATP 500 itu yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 1 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




