London: Novak Djokovic membuktikan bahawa dia masih memiliki kualiti untuk beraksi di tahap tertinggi, namun ramai yang skeptikal terhadap peluangnya pada kejohanan Grand Slam akan datang.
Sensasi tenis berusia 38 tahun itu hampir menjulang trofi di Terbuka Australia, namun Carlos Alcaraz menjadi penghalang besar buat pemain berpengalaman dari Serbia itu.
Dalam episod terbaharu podcast The Big T, tiga figura terkenal dunia tenis iaitu Coco Vandeweghe, Danielle Collins dan Brad Gilbert berkongsi pandangan mereka mengenai Djokovic.
Bekas jurulatih Coco Gauff, Gilbert percaya pemain berusia 38 tahun itu masih mempunyai potensi untuk mara ke final Grand Slam, walaupun banyak faktor perlu diambil kira untuk perkara itu menjadi kenyataan.
“Jika anda bertanya kepada saya sebelum Terbuka Australia, saya mungkin akan mengatakan tidak, iaitu dia tidak akan mara ke final (Grand Slam).
“Saya fikir peluang terbaiknya selepas ini adalah di Wimbledon, kerana saya tidak melihat ia akan berlaku di Roland Garros,” kata Gilbert.
Coco berkongsi pandangan yang sama, begitu juga Danielle.
Tidak dinafikan ramai akan terus mengikuti perkembangan Djokovic untuk melihat sama ada pemain tenis berpengalaman itu benar-benar mampu mencipta satu lagi pencapaian hebat dengan memenangi gelaran Grand Slam pada penghujung kariernya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




