Djokovic rayu Nadal tangguh persaraan

Djokovic rayu Nadal tangguh persaraan

Riyadh: Novak Djokovic merayu kepada seteru utamanya, Rafael Nadal supaya menangguhkan hasrat untuk bersara selepas menewaskan pemain Sepanyol itu awal pagi tadi dalam perlawanan yang berkemungkinan menjadi babak terakhir perseteruan epik mereka.

“Jangan tinggalkan tenis, kawan,” kata Djokovic dalam temu bual di atas gelanggang selepas menewaskan Nadal straight set 6-2, 7-6 (7/5) di acara pertunjukan “Six Kings Slam” di Arab Saudi.

Djokovic menambah perseteruan mereka selama ini sangat tegang dan berharap suatu hari nanti dapat “duduk di tepi pantai” dan menikmati minuman bersama.

Nadal, 38, mengumumkan pada 10 Oktober lalu bahawa dia akan bersara daripada sukan tenis selepas Piala Davis di Malaga bulan depan.

Penganjur acara di Arab Saudi mempromosikan perlawanan pada hari ini yang mungkin menjadi perlawanan terakhir Nadal selaku pemain profesional.

Nadal sebelum ini berkata dia tidak pasti sama ada akan cergas untuk bermain acara perseorangan di Malaga.

Djokovic dan Nadal – dua daripada tiga bintang “Big Three” yang terkenal bersama Roger Federer – sudah bertemu sebanyak 60 kali di kejohanan utama sebelum perlawanan pertunjukan hari ini, dengan Djokovic mempunyai rekod kemenangan tipis 31-29.

Pertemuan terakhir mereka adalah pada Sukan Olimpik Paris di gelanggang Roland Garros iaitu tempat sama Nadal memenangi 14 gelaran Terbuka Perancis, namun Djokovic dengan mudah menang 6-1, 6-4 ketika itu.

“Ia sangat hebat melihat dia masih berjuang walaupun mengalami kecederaan,” kata Djokovic, 37, pada sidang media selepas perlawanan.

“Ia adalah hari yang sangat beremosi, hari yang istimewa kerana ia mungkin kali terakhir saya bermain dengan seteru utama saya, Nadal.

“Saya menyaksikan Andy Murray bersara tahun ini di Wimbledon, Roger (Federer) beberapa tahun lalu juga. Dan kini Rafa. Ia sangat sukar kerana sepanjang kerjaya saya, saya bermain bersama mereka,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top