Djokovic terkejut sikap profesionalisme Murray

Djokovic terkejut sikap profesionalisme Murray

Melbourne: Novak Djokovic mengakui terkejut dengan profesionalisme jurulatih baharunya, Andy Murray, dalam persediaan menuju Terbuka Australia, namun berkata berkongsi pemikiran dengan bekas pesaing itu pada awalnya sangat mencabar.

Pemain Britain itu menyertai pasukan Djokovic pada November untuk membantu pemain Serbia memburu gelaran ke-11 di Melbourne Park dan rekod Grand Slam ke-25.

Murray, yang juga rakan baik Djokovic, bertarung sebanyak 36 kali dari 2006 hingga 2022, dengan Djokovic memenangi 25 daripadanya, termasuk empat final Terbuka Australia.

Walaupun belum menguji kerjasama mereka dalam perlawanan sebenar, Djokovic terkesan dengan dedikasi dan usaha Murray untuk menyesuaikan diri dengan ahli pasukan yang lain.

“Setakat ini, pengalaman bersama Andy hanya positif, sejujurnya,” kata Djokovic kepada wartawan.

“Saya sangat terkejut dengan dedikasi dan profesionalisme beliau, memandangkan ini pengalaman pertamanya bekerja sebagai jurulatih tenis.

“Ia datang secara semula jadi kepada beliau. IQ umumnya dan IQ tenisnya sangat tinggi.”

Djokovic mendedahkan mereka meluangkan 10-12 hari bersama pada pra-musim sebelum bergabung di Melbourne Park, di mana pemain pilihan ketujuh itu akan berdepan pemain wildcard Amerika Syarikat, Nishesh Basavareddy, pada pusingan pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top