Washington: Selepas lebih tiga dekad, polis mengenal pasti seorang suspek yang sudah mati dalam kes pembunuhan terkenal pada 1991 yang menyaksikan empat gadis dibunuh kejam di sebuah kedai yogurt di Austin, Texas, lapor The Guardian.
Polis Austin pada Jumaat mendedahkan bahawa Robert Eugene Brashers dikenal pasti sebagai suspek dalam pembunuhan itu melalui “pelbagai ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA)”.
Brashers yang mempunyai sejarah jenayah yang panjang, mati bunuh diri pada 1999 pada usia 40 tahun, semasa konfrontasi dengan polis di Missouri.
Pengumuman polis Austin itu menyusuli penyiaran siri dokumentari HBO pada Ogos lalu yang ditonton secara meluas berdasarkan kes pembunuhan empat mangsa itu dan berjaya menarik semula perhatian terhadap kes berkenaan.
Mangsa kes itu ialah Amy Ayers, 13; Eliza Thomas, 17; dan dua beradik iaitu Jennifer serta Sarah Harbison, masing-masing berusia 17 dan 15 tahun yang diikat, disumbat mulut, ditembak di kepala dan dibakar di dalam kedai ‘I Can’t Believe It’s Yogurt’ di sebuah pusat beli-belah. Pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya seorang daripada mangsa diserang secara seksual.
Jennifer dan Eliza bekerja di kedai itu pada malam kejadian dan bersiap untuk menutup operasi apabila Sarah dan Amy, kawan baiknya, tiba untuk menumpang kenderaan mereka untuk pulang.
Menurut penyiasat, seseorang menyelinap masuk ke dalam kedai melalui pintu belakang pada waktu kedai ditutup dan menyerang gadis-gadis itu dan membakar kedai berkenaan dengan mayat kesemua mangsa yang ditembak secara gaya hukuman mati ditemukan oleh anggota bomba dengan tubuh mereka diikat menggunakan pakaian dalam dan mulut mereka disumbat dengan kain.
Kebakaran itu menyebabkan tiga daripada empat mayat mangsa rentung teruk sehingga tidak dapat dikenal pasti.
Kes itu yang mengejutkan Amerika Syarikat dan menyaksikan ratusan suspek berpotensi disiasat selama bertahun-tahun tetapi kekal tidak dapat diselesaikan sehingga baru-baru ini kerana kekurangan bukti kukuh. Pada masa itu, kedai berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup dan kebanyakan bukti berpotensi musnah dalam kebakaran.
Pada 1999, penyiasat menahan empat lelaki berhubung pembunuhan itu termasuk Robert Springsteen dan Michael Scott yang masih remaja ketika jenayah itu berlaku.
Springsteen dan Scott pada mulanya mengaku bersalah dan saling membabitkan satu sama lain tetapi kemudiannya menarik balik pengakuan mereka dengan mengatakan bahawa mereka membuat kenyataan di bawah tekanan polis.
Walaupun begitu, kedua-dua lelaki itu dibicarakan dan disabitkan kesalahan. Bagaimanapun, sabitan mereka kemudiannya dibatalkan apabila bukti DNA baharu mengenal pasti seorang suspek lelaki yang berbeza menyebabkan seorang hakim memerintahkan pembebasan mereka dari tahanan pada 2009.
Suspek terbaharu, Brashers dikaitkan dengan beberapa kes lain termasuk kes jerutan seorang wanita di Carolina Selatan pada 1990, kejadian penembakan seorang ibu dan anak perempuannya di Missouri pada 1998 dan kes rogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tennessee pada 1997, menurut laporan sebuah agensi berita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




