Kuala Lumpur: Identiti wanita ditemukan maut dan ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau belum dapat disahkan secara rasmi kerana keadaan mayat yang sudah reput menghalang proses pengecaman secara langsung.
Rakan rapat mangsa, Mac Ruhayu Mohd Nor, berkata beberapa ahli keluarga hadir ke hospital bagi urusan berkaitan siasatan, namun tiada proses pengecaman fizikal dapat dilakukan dan pengesahan identiti hanya boleh dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Ahli keluarga memang hadir, tetapi tiada pengecaman secara langsung dibuat kerana keadaan mayat sudah reput dan muka tidak dapat dikenal pasti.
“Mereka hanya melihat beberapa gambar, dan pengesahan identiti perlu dibuat melalui ujian DNA,” katanya kepada BH, hari ini.
Menurut Mac Ruhayu, sampel DNA telah diserahkan kepada pihak hospital oleh salah seorang kakak mangsa bagi tujuan pengesahan identiti.
“Kakak ketiga mangsa yang menyerahkan sampel DNA. Keputusan ujian DNA dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga empat bulan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada barangan peribadi seperti pakaian dikenal pasti sebagai milik mangsa, sekali gus menyukarkan proses pengecaman awal.
“Saya ke sana (Hospital Rembau) tapi tidak sempat dan proses bedah siasat sudah selesai.
“Keluarga maklumkan jenazah belum boleh dituntut, disimpan semula, belum boleh mandi jenazah,” katanya yang memaklumkan akan bertemu dengan ahli keluarga Suri yang kini berada di Negeri Sembilan.
Mac Ruhayu berkata dia juga difahamkan jenazah hanya boleh diambil selepas proses pengesahan DNA diselesaikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
Ketika ditanya bagaimana keadaan ahli keluarga Suri, Mac Ruhayu memaklumkan mereka dalam keadaan baik dan reda menerima sebarang ketentuan berkait perkara ini.
“Difahamkan mereka akan dipanggil untuk membuat kawad cam ke atas suspek yang ditahan di Genting Klang, hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




