DNeX, POWERCHINA jalin kerjasama strategik bangunkan tenaga boleh diperbaharui

DNeX, POWERCHINA jalin kerjasama strategik bangunkan tenaga boleh diperbaharui

SHAH ALAM – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sinohydro Corporation Ltd (SINOHYDRO) bagi memperkukuh pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, perjanjian itu bertujuan membangunkan inisiatif utama dalam sektor tenaga bersih tempatan seperti tenaga solar, geoterma, hidro dan teknologi karbon sifar lain.

“Kerjasama tersebut turut melibatkan Sinohydro Malaysia yang merupakan anak syarikat milik penuh Power Construction Corporation of China, Ltd (POWERCHINA), syarikat milik kerajaan China.

“Antara komponen utama kerjasama adalah pemindahan teknologi, pembangunan inovasi serta latihan tenaga kerja tempatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan nadir bumi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Sinohydro Malaysia telah melaksanakan pelbagai projek kejuruteraan utama sejak 1998 termasuk penyertaan dalam pembinaan Empangan Hidroelektrik Bakun di Sarawak yang berkapasiti terpasang 2,400MW.

Turut disenaraikan ialah projek Stesen janakuasa Connaught Bridge, loji janakuasa kitar padu gas Tanjung Kidurong, empangan hidroelektrik Hulu Terengganu dan Murum, projek solar skala besar LSS3 Coara Marang serta loji kuasa hidro kecil Telekosang.

Faizal Sham berkata, syarikat tersebut kini membangunkan Projek Hidroelektrik Baleh, loji terbesar seumpamanya yang masih dalam pembinaan di Malaysia, serta loji janakuasa kitaran gabungan gas Turbin di Miri, Sarawak.

“Kerjasama strategik ini menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk memacu inovasi dan kemajuan teknologi ke arah peralihan tenaga bersih negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Antara bidang utama yang digariskan ialah pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui yang berdaya maju, pemindahan teknologi dan Small Modular Reactor (SMR),” ujarnya.

Tambah beliau, DNeX dan SINOHYDRO juga akan meneroka peluang dalam projek nadir bumi lestari yang berkait rapat dengan penghasilan teknologi tenaga bersih.

“Langkah ini penting bagi menjamin sumber bahan mentah strategik yang stabil dan bertanggungjawab dari segi alam sekitar selaras dengan permintaan global terhadap tenaga bersih.

“Kerjasama ini membuka peluang baharu dalam tenaga boleh diperbaharui, selari dengan pelan kelestarian syarikat untuk beralih kepada teknologi maju seperti SMR, gas asli, cloud dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan bekalan tenaga stabil,” katanya.

Scroll to Top