KUALA LUMPUR – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), meneruskan penglibatan dalam Inisiatif Laluan Makkah bagi musim haji 2025.
Terlibat dalam inisiatif tersebut sejak tahun 2019, DNeX baru-baru ini berjaya memperoleh kontrak bernilai keseluruhan AS$1.8 juta bagi penyediaan fasiliti tapak serta pembekalan peralatan teknikal dan teknologi di enam lokasi antarabangsa yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Turkiye.
Menurut DNeX, pelaksanaan penuh bagi musim haji 2025 sedang berjalan lancar, sekali gus mengukuhkan lagi peranan strategik syarikat dalam memastikan perjalanan haji yang teratur dan efisien buat jemaah Muslim di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, syarikat berbesar hati dapat terus menyumbang dalam mempermudah urusan perjalanan suci tersebut.
“Kejayaan memperoleh semula kontrak di enam lokasi bagi tahun 2025 membuktikan kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap keupayaan dan komitmen kami.
“Kerjasama berterusan bersama pihak berkuasa di Malaysia, Indonesia dan Turkiye juga mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan operasi dalam kerjasama antarabangsa,” katanya.
Enam lokasi terlibat ialah Terminal 1 KLIA (Malaysia), Lapangan Terbang Soekarno–Hatta, Jakarta; Lapangan Terbang Juanda, Surabaya; Lapangan Terbang Adi Soemarmo, Solo (Indonesia); serta Lapangan Terbang Istanbul dan Lapangan Terbang Esenboğa, Ankara (Turkiye).
Inisiatif Laluan Makkah diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain, dan merupakan komponen utama kepada Pilgrim Experience Program, selaras dengan Visi 2030 negara itu.
Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses prakelulusan imigresen jemaah dari beberapa negara terpilih, sekali gus memudahkan ketibaan mereka di Arab Saudi dan terus ke tempat penginapan di Makkah serta Madinah.
Program tersebut dilaksanakan di bawah kendalian Elm Company, syarikat milik penuh kerajaan Arab Saudi menerusi Dana Pelaburan Awam yang juga merupakan cabang pelaburan Kementerian Kewangan negara berkenaan.
Elm Company merupakan penyedia penyelesaian digital utama di Arab Saudi, terutamanya dalam bidang transformasi digital berkaitan haji dan umrah.
Dengan mengendalikan enam daripada 11 lokasi global Laluan Makkah bagi tahun ini, DNeX optimis untuk memperoleh lebih banyak lokasi pada musim haji akan datang.
Syarikat turut merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan Elm Company termasuk dalam bidang pengangkutan dan keselamatan, seiring dengan strategi pengembangan dalam projek teknologi kerajaan serta infrastruktur antarabangsa.