am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Lebih 5,000 orang membanjiri Masjid Bandaraya Kota Kinabalu malam ini bagi menghadiri majlis tahlil untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Suasana di perkarangan masjid mulai sesak seawal jam 5 petang apabila orang ramai mula tiba dari sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin tiba pada jam 6.15 petang, disambut oleh Imam Besar Masjid Bandaraya dan beberapa menteri dan pegawai kerajaan negeri.
Turut sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri merangkap EXCO Agama dan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan solat hajat, bacaan tahlil dan doa khas untuk arwah, yang dipimpin oleh Imam Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting.
Ketika bacaan doa, suasana hening dan sebak menyelubungi ruang solat.
Beberapa hadirin dilihat menitiskan air mata, mengenangkan nasib menimpa pelajar berusia 13 tahun itu.
Dalam masa sama, program serupa turut diadakan serentak di ratusan masjid dan surau seluruh Sabah, menunjukkan kebersamaan rakyat dalam memohon kebenaran kes ini terserlah.
Menurut penganjur, penganjuran majlis ini juga bertujuan mendoakan urusan keluarga arwah dipermudahkan dan menghilangkan rasa trauma yang dialami pelajar lain.
Bagi seorang jemaah, Mohd Nazrul Abdul Ali, 42, kehadiran ramai pihak tanpa mengira latar belakang membuktikan bahawa masyarakat bersatu hati mencari keadilan untuk Zara Qairina.
“Dia anak yang tidak berdosa, seluruh Sabah mendoakan supaya kebenaran muncul,” katanya.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




