am@hmetro.com.my
CINTA penyanyi bertaraf legenda Datuk Aishah, 60, pada bidang muzik tidak pernah pudar sampai ke hari ini.
Ketika ‘trend’ ramai penyanyi muncul dengan single demi single, Aishah tidak ketinggalan tampil dengan bingkisan terbaharunya berjudul Taman Keabadian buat mengubat rindu peminat.
Secara peribadi, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin meluahkan rasa syukur kerana masih lagi diberi peluang untuk menyanyi dan berkarya.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya pada usia sekarang buat peminat.
“Setiap lagusaya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya.
“Jadi, saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” katanya.
Mengenai lagu Taman Keabadian, kata Aishah, lagu sentuhan komposer Senna itu sarat dengan tema kerinduan dan kehilangan, khususnya kepada mereka yang sudah pergi meninggalkan kita.
“Saya dedikasikan lagu ini (Taman Keabadian) kepada semua yang merindui ibu bapa, keluarga atau sahabat yang sudah kembali ke negeri abadi.
“Lagu ini hadir bersama doa dan harapan, agar pertemuan semula bakal berlaku di Taman Keabadian,” katanya.
Berkongsi kisah Taman Keabadian itu lagi, kata Aishah, ia bukan sekadar lagu tetapi buat mereka yang melalui episod kehilangan dan memerlukan kekuatan jiwa.
“Saya juga berharap lagu ini dapat menjadi pengubat rindu dan memberi semangat kepada mereka yang mungkin bersedih.
“Ia adalah hadiah saya kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong karier nyanyian lebih tiga dekad lalu,” katanya.
Mengimbas latarnya, Aishah memulakan kariernya di pentas antarabangsa bersama kumpulan Aishah & The Fan Club di New Zealand pada era 1980-an.
Sekembalinya ke tanah air, Aishah juga berjaya mencipta nama sebagai penyanyi solo dengan rangkaian lagu ikonik seperti Janji Manismu, Bahtera Merdeka, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.
Pada masa sama, lagu-lagunya juga pernah menembusi carta Billboard dan memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Industri Muzik (AIM).
Sehubungan itu, single Taman Keabadian kini boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 8 Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd