harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik kesibukan tugas, ucapan tulus ikhlas daripada anak-anak kecil sempena Aidilfitri dan hari lahirnya mengukir senyuman pada wajah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak.
Menurutnya, selepas selesai sambutan Aidilfitri bersama keluarga tercinta, beliau kembali bertugas pada Syawal keempat hari ini yang kebetulan adalah tarikh ulang tahun kelahirannya.
“Dalam kesibukan memulakan semula rutin harian, saya turut meluangkan masa meneliti satu persatu kad ucapan yang diterima sempena Aidilfitri dan juga ulang tahun kelahiran saya pada hari ini.
“Setiap kiriman membawa makna yang tersendiri, namun yang paling menyentuh hati adalah kad-kad daripada kanak-kanak yang penuh dengan warna-warni, keikhlasan dan doa yang begitu tulus,” katanya kepada Harian Metro.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 itu berkata, beliau kembali meneruskan tugas dengan semangat yang diperbaharui dan hati yang lebih tenang dalam memikul tanggungjawab memelihara kedaulatan negara.
Menurutnya, coretan daripada kanak-kanak berkenaan bukan sekadar ucapan sebaliknya sebagai tanda kasih, sayang dan ingatan yang sangat bermakna.
“Coretan kecil daripada adik-adik seperti adik Mohd Muzakkir dari Sungai Petani, Kedah dan adik Nursuhada dari Setiawan, Perak benar-benar mencuit hati.
“Ia bukan sekadar ucapan, tetapi hadir sebagai satu bentuk kasih sayang dan ingatan yang sangat bermakna. Perkara-perkara kecil seperti inilah yang memberikan kekuatan dan senyuman dalam meneruskan tanggungjawab seharian.
“Insya-Allah, setiap kad ucapan yang diterima akan saya usahakan untuk dibalas sebagai tanda penghargaan atas ingatan dan doa yang diberikan,” katanya.
Malek mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengirimkan ucapan dan doa buat dirinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




