Pelakon Aprena Manrose, 33, mendedahkan dia pernah berdoa di hadapan Kaabah agar hubungannya bersama bekas suami, Mohd Afiq Hazman, kembali pulih semula.
Tak sangka perasaan berubah

Memetik laporan Harian Metro, menurut Aprena, peluang itu muncul ketika dia berada di tanah suci Makkah pada Mac tahun lalu untuk penggambaran drama Rindu Medina.
Kunjungan ke Makkah pada waktu itu adalah peluang keemasan untuk menenangkan hati yang baru sahaja luka akibat perceraian dan tempoh iddah.
“Ketika itu hubungan kami memang tidak begitu baik. Secara tidak langsung, saya dapat menenangkan diri di sana.
“Memandangkan drama itu sarat dengan emosi, mood lakonan dan realiti adalah sama. Memang banyak air mata mengalir sama ada di depan atau di luar kamera,” kata Aprena, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia mengakui pada mulanya begitu sukar untuk melepaskan hubungan yang sudah terjalin selama 14 tahun dan tidak dapat membayangkan hidup sendiri tanpa seorang suami.

“Tiada pasangan yang berkahwin mahu bercerai. Doa saya ketika itu adalah untuk kami kembali bersama dan cuba memperbaiki hubungan. Namun, sekembalinya saya ke tanah air, perasaan itu berubah. Saya akhirnya reda dan menerima apa yang berlaku,” jelasnya.
Aprena turut bersyukur urusan kerja dan ibadah dipermudahkan sepanjang berada di Makkah walaupun memikul tanggungjawab sebagai pelakon.

“Ini kali pertama saya ke Makkah untuk bekerja. Kami menunaikan umrah terlebih dahulu pada hari pertama sebelum memulakan penggambaran. Walaupun fokus terbahagi, semuanya berjalan lancar,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Aprena Manrose mahu suami ‘provider’, jaga solat dan tak kedekut
Untuk info, Drama Rindu Medina, lakonan Aprena, dijadual menemui penonton di TV1 mulai 10 Mac ini. Selain Aprena, drama arahan Zamri Zakaria itu turut dibintangi Johan As’ari, Amy Nur Tini dan ramai lagi.
Sumber: Harian Metro (Syafil Syazwan Jefri)



