redzuan.muharam@hmetro.com.my
Seremban: Tiada kata mampu diungkapkan pemuda orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu bagi melepaskan rindu tiada penghujung buat ibunya, yang meninggal dunia akibat barah ovari.
Sebaliknya, Hafizi Hamdan, 25, hanya dapat menitipkan doa dengan bahasa isyarat setiap kali menziarahi pusara Allahyarham ibunya, Salawati Ahmad yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mahang, dekat sini.
Kisah Hafizi mendapat perhatian hingga meruntun hati warganet selepas videonya berbahasa isyarat ketika menziarahi pusara ibunya tular di laman sosial.
Berkongsi kisah sebenar, Hafizi berkata, video itu dirakam ibu saudaranya, Hasmalina Ahmad, 40, yang menemaninya menziarahi pusara ibunya, baru-baru ini.
“Emak meninggal dunia pada 21 Ogos tahun lalu dan selepas emak tiada , memang sunyi.
“Saya rindukan emak, sampai sekarang pun kerana kami rapat dan sebab itu selalu ziarah kubur emak.
“Setiap kali ziarah kubur, saya akan doakan emak dan dalam video yang tular itu, saya baca al-Fatihah sebelum ucapkan selamat tinggal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp.
Sementara itu, ibu saudaranya, Hasmalina berkata, video berkenaan dirakam secara spontan dan tidak menyangka akan meraih tontonan tinggi hingga ramai yang tersentuh.
Katanya, dia juga sebak kerana mengenangkan hubungan rapat dua beranak itu satu ketika dulu.
“Ibu Hafizi adalah kakak saya. Sejak arwah tiada, Hafizi tinggal dengan emak yang duduk di sebelah rumah saya.
“Sekarang dia kerja bantu saya di kantin dan memang rajin cuma jenis yang suka buat hal sendiri.
“Biasanya, saya bawa Hafizi ziarah kubur ibunya hari Jumaat atau dua minggu sekali. Setiap kali ke kubur emaknya, begitulah Hafizi.
“Dia akan doakan ibunya dalam bahasa isyarat… nampak dia masih rindu malah sampai sekarang pun dia akan teringat ibunya setiap kali makan makanan kegemaran ibunya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




