am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang doktor wanita warga Malaysia berusia 60 tahun meninggal dunia selepas sesat dan terjatuh dari ketinggian 100 meter di laluan denai Croda del Becco, utara Cortina d’Ampezzo, Itali pada Jumaat lalu.
Mangsa, Dr Khaw Bee Ling dari Kedah, sedang dalam perjalanan mendaki bersama rakan-rakannya. Beliau dilaporkan hilang pada 17 Julai.
Harapan untuk menemuinya dalam keadaan selamat berkubur apabila helikopter mencari dan menyelamat mengesan mayatnya di kaki bongkah Croda del Becco pada awal pagi keesokannya.
Menurut laporan berita Itali, Antenna Tre, lokasi Khaw ditemukan adalah salah satu puncak paling mengagumkan di Dolomites, antara Taman Semula Jadi Ampezzo Dolomites dan Braies Dolomites.
Laporan itu menyatakan, Khaw terkeluar dari laluan di sebelah gunung Belluno, sehingga sampai ke kawasan bongkah batu yang curam dan licin sebelum terjatuh kira-kira 100 meter dan berakhir di dalam sebuah jurang.
Laporan berita itu menyebut, Khaw sempat menghantar mesej kepada rakannya, memberitahu bahawa beliau sesat dan memerlukan bantuan.
“Satu operasi mencari segera dilancarkan dengan anggota dan peralatan, termasuk helikopter dan dron dengan kamera pengimejan haba, diteruskan sepanjang malam dan disambung semula pada awal pagi dengan tinjauan udara serta rondaan, termasuk dengan unit anjing.
“Kedudukan telefon bimbit yang diterima daripada penyedia perkhidmatan mudah alih adalah penting, membolehkan kawasan carian dikecilkan,” menurut laporan itu.
Menurutnya, mayat Khaw berjaya dikeluarkan dan dibawa ke rumah mayat di Cortina.
“Selain Penyelamat Alp Cortina dan Guardia di Finanza, sukarelawan dari San Vigilio di Marebbe dan Pusteria, anggota bomba, serta Carabinieri turut serta dalam pencarian Dr Khaw yang hilang,” menurut laporan itu lagi.
Hasil semakan mendapati Khaw, seorang pakar perubatan, bertugas di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.
© New Straits Times Press (M) Bhd