anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pernah diberkas pihak berkuasa tiga tahun lalu namun seorang wanita masih enggan ‘bertaubat’ dengan meneruskan kegiatan sebagai doktor gigi palsu.
Itu aktiviti haram dilakukan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menetap di negara ini tanpa dokumen untuk menawarkan perkhidmatan pergigian tidak bertauliah itu.
Wanita berusia 25 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan pegawai Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan serbuan di sebuah salun kecantikan di Puchong, Selangor, bersama Jabatan Imigresen Negeri Selangor petang kelmarin.
Sumber berkata, suspek yang tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang pergigian dikesan menawarkan khidmat rawatan veneer, pemutihan dan pemasangan pendakap gigi (braces).
Suspek menjalankan kegiatan itu di premis salun milik warganegara tempatan.
Suspek menawarkan rawatan haram melalui iklan di media sosial.
Rawatan veneer dikenakan caj sekitar RM400 manakala rawatan pemutihan gigi sekitar RM70 hingga RM90.
“Wanita itu turut dipercayai menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi (braces) haram. Bagaimanapun dia tidak mengaku melakukannya walaupun pegawai KKM menemui bukti barangan digunakan untuk rawatan itu,” katanya.
Menurutnya, suspek mendakwa sebagai bekas pekerja di sebuah spa lain yang pernah diserbu KKM pada tahun 2022 dan pernah diajar individu lain kaedah memasang pendakap gigi dan veneer di spa berkenaan.
Menurutnya, suspek gagal menunjukkan dokumen membuktikan dirinya seorang pengamal pergigian berdaftar dan premis dikendalikan adalah klinik pergigian swasta berdaftar dengan KKM.
“Pemeriksaan dan pengeledahan dilakukan menemui pelbagai peralatan dan bahan-bahan pergigian yang digunakan untuk membuat rawatan pergigian.
“Kesemua peralatan itu dirampas bagi tujuan bukti pendakwaan,” katanya.
Susulan itu suspek boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959 jika tiada dokumen pengenalan diri yang sah dapat dikemukakan.
Suspek juga boleh didakwa mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 kerana menjalankan amalan pergigian tanpa didaftarkan selain Seksyen 4(1) kerana mengendalikan klinik pergigian tanpa berdaftar di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988,” katanya.
Dalam kes berasingan Jun lalu, KKM turut membongkar kegiatan sama didalangi seorang wanita berusia 30-an itu hasil serbuan di premis perniagaan pusat kecantikan di Seksyen 18, Shah Alam.
© New Straits Times Press (M) Bhd