
TOKYO: Ketua kesatuan doktor Jepun Selasa lalu memberi amaran penganjuran Sukan Olimpik di Tokyo musim panas ini, dengan puluhan ribu orang dari seluruh dunia, boleh mencetus strain koronavirus “Olimpik”.
Jepun berjanji untuk mengadakan Olimpik 2020 yang “selamat dan terjamin” di Tokyo setelah tertangguh selama setahun, dalam masa sama sedang berusaha menyekat gelombang jangkitan keempat dan bersiap untuk melanjutkan perintah darurat di kebanyakan wilayah di negara itu.
Pegawai Jepun, penganjur Olimpik dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah berjanji bahawa sukan itu akan diteruskan, walaupun di bawah langkah-langkah pencegahan virus yang ketat.
Penonton asing adalah dilarang dan keputusan mengenai penonton tempatan dijangka akan diketahui bulan depan.
Tetapi walaupun dengan langkah-langkah tersebut, masih ada kebimbangan mengenai kemasukan atlet dan pegawai ke Jepun, sedangkan program vaksinasi masih perlahan, dengan hanya lebih 5% penduduk divaksin setakat ini.
Ketua Kesatuan Doktor Jepun, Naoto Ueyama, berkata semua jenis virus mutan berlainan yang ada di tempat yang berlainan akan tertumpu dan berkumpul di Tokyo. Kami tidak dapat menafikan kemungkinan akan potensi munculnya virus baharu,” katanya pada sidang akhbar.
“Jika situasi seperti itu berlaku, ia bererti virus Olimpik Tokyo ini akan menjadi tragedi besar dan akan terus menjadi sasaran kritikan, bahkan sebutan walau sehingga 100 tahun.”
Namun Pengarah Institut Kesihatan Penduduk di King’s College, London, Kenji Shibuya, yang baru-baru ini membantu kempen vaksinasi di Jepun, meredakan kebimbangan terhadap temasya tersebut.
“Mutasi berlaku apabila virus berada pada individu yang mengalami gangguan imun atau yang diimunisasi separa untuk jangka waktu yang lama,” kata Shibuya.
“Oleh itu, keadaan semasa di Jepun adalah lebih berbahaya daripada (semasa) Sukan Tokyo, pada pandangan saya.”
Awal minggu ini, AS menyarankan agar rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Jepun, tetapi penganjur Olimpik menegaskan ia tidak akan mempengaruhi Sukan itu.
Rumah Putih berkata semalam pihaknya telah diberi jaminan oleh kerajaan Jepun bahawa ia akan terus berhubung mengenai kebimbangan berkait penganjuran temasya sukan itu.




