syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Status kesihatan pelakon Along Eyzendy, 47, yang ditidurkan petang semalam akibat pendarahan dalam perut kini bergantung kepada hasil prosedur memasukkan kamera (skop) yang dijalankan pihak hospital, pagi tadi.
Isterinya, Hamidah Mohd Yatim menjelaskan, prosedur itu adalah langkah bagi mengenal pasti punca pendarahan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh pasukan perubatan.
“Buat masa sekarang, doktor memaklumkan bahawa Along berada dalam fasa kritikal.
“Pagi tadi Along sudah jalani prosedur skop untuk kesan punca pendarahan. Kami kini sedang menunggu perkembangan lanjut.
“Sekiranya prosedur ini tidak berjaya, doktor maklumkan akan teruskan dengan pembedahan,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Harian Metro melaporkan Along berada dalam fasa kritikal dan terpaksa ditidurkan bagi menstabilkan keadaannya yang lemah akibat kehilangan darah di bahagian perut.
Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz dimasukkan ke wad pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedunya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




