'Doktor maut' dituduh bunuh 15 pesakit

'Doktor maut' dituduh bunuh 15 pesakit

Berlin: Seorang doktor Jerman dibicarakan pada Isnin atas tuduhan membunuh 15 pesakit dengan suntikan maut dalam kes yang disifatkan penyiasat mungkin lebih dahsyat.

Pakar penjagaan paliatif berusia 40 tahun itu yang dikenal pasti media Jerman sebagai Johannes M itu dituduh membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 dan Julai 2024.

Ketika kejadian, dia bertugas di Berlin.

Dia didakwa menyuntik mangsa yang berusia antara 25 hingga 94 tahun dengan koktel maut ubat penenang dan dalam beberapa kes, membakar rumah mangsa bagi menyembunyikan jenayahnya.

Seorang rakan sekerja mula curiga terhadap Johannes M pada Julai 2024 apabila menyedari ramai pesakitnya mati dalam kebakaran, menurut laporan akhbar Die Zeit.

Beliau ditahan pada Ogos 2024 pada mulanya berkaitan dengan empat kematian. Namun, siasatan lanjut menemukan lebih banyak kes mencurigakan dan pada April lalu, Johannes M didakwa atas 15 pertuduhan membunuh.

Sebanyak 96 kes lagi disiasat termasuk kematian ibu mentuanya, kata jurucakap pendakwa kepada AFP.

Menurut laporan media, wanita itu menghidap kanser dan meninggal dunia secara misteri pada hujung minggu pada awal 2024.

Suspek yang digelar media Jerman sebagai ‘doktor maut’ pernah menjalani latihan sebagai pakar radiologi dan pengamal am sebelum menceburi bidang penjagaan paliatif.

Pendakwa menyatakan bahawa dalam kesemua 15 kes, Johannes M menyuntik ubat bius dan penenang otot kepada pesakit tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Dalam lima kes, Johannes M didakwa membakar apartmen mangsa selepas suntikan diberikan.

Dalam satu kejadian, dia dituduh membunuh dua pesakit pada hari sama. Pada pagi 8 Julai 2024, dia didakwa membunuh seorang lelaki berusia 75 tahun di rumah mangsa di daerah Kreuzberg, Berlin.

Beberapa jam kemudian, dia dikatakan menyerang dan membunuh seorang wanita berusia 76 tahun di daerah Neukoelln berdekatan.

Pendakwa menyatakan bahawa suspek memulakan kebakaran di rumah mangsa, tetapi api itu terpadam.

Dalam satu lagi kes, Johannes M berbohong kononnya dia sudah memulakan usaha resusitasi ke atas seorang mangsa wanita berusia 56 tahun.

Mangsa masih hidup buat seketika dengan bantuan pasukan penyelamat tetapi meninggal dunia tiga hari kemudian di hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top