QUEENS – Seorang pakar gastroenterologi mengaku bersalah atas beberapa tuduhan rogol dan penderaan seksual selepas menyerang kenalan serta pesakit wanita di sebuah hospital.
Menurut laporan abc7ny, Dr Zhi Alan Cheng, 35, dari Astoria, didakwa atas 50 pertuduhan pada Ogos 2023.
Dia kemudiannya didakwa atas tuduhan tambahan pada Mac 2024 selepas seorang lagi mangsa tampil ke hadapan.
Cheng mengakui bahawa dia telah merakam penderaan terhadap mangsa yang tidak sedarkan diri di apartmennya dan di Hospital New York-Presbyterian Queens antara tahun 2020 dan 2022. Dia turut mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rogol dan penderaan seksual.
Dia juga membuat pengakuan Alford bagi satu pertuduhan penderaan seksual.
Pengakuan Alford merupakan salah satu bentuk pengakuan bersalah dalam mahkamah jenayah di mana tertuduh tidak mengaku melakukan jenayah tersebut, tetapi mengakui bahawa pihak pendakwaan memiliki bukti yang mencukupi untuk mensabitkan kesalahan sekiranya kes dibicarakan.
Hakim Mahkamah Agung Queens, Ushir Pandit Durant, dijangka menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun pada 28 Ogos.
Peguam Daerah Queens, Melinda Katz berkata, Cheng telah melanggar etika sebagai seorang pakar perubatan hospital dengan melakukan kemudaratan, keganasan dan kecederaan seksual terhadap mangsa.
“Saya berterima kasih kepada mangsa yang berani tampil ke hadapan dan mendedahkan penderaan ini.
“Kami berharap pengakuan bersalah ini membolehkan semua mangsa meneruskan proses pemulihan.
“Bukti yang ditemui menggambarkan seorang pemangsa seksual paling berbahaya – perogol bersiri yang sanggup melanggar sumpah profesional, kepercayaan pesakit serta setiap standard kesopanan manusia,” katanya pada Isnin.
Cheng telah ditahan tanpa jaminan sejak penangkapannya pada tahun 2022, dan keupayaannya untuk mengamalkan perubatan juga telah digantung oleh pihak berkuasa negeri.
Dia ditangkap pada 27 Disember 2022 selepas seorang kenalan wanita yang dirogol di apartmennya menemui video yang menunjukkan dirinya serta wanita lain diserang oleh doktor tersebut.
Perintah geledah kemudiannya membawa kepada penemuan pelbagai peranti storan media digital yang mengandungi video Cheng mendera secara seksual kenalan serta pesakit wanita yang tidak sedarkan diri.
Pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk fentanil, ketamin, kokain, lysergic acid diethylamide (LSD), dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta ubat penenang perubatan seperti propofol dan sevoflurane.