Doktor pikat Zubir Khan?

Doktor pikat Zubir Khan?

Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer lagu Tamil, Zubir Khan memberi bayangan hatinya sudah dimiliki seseorang.

Menerusi hantaran Instagram (IG), Zubir atau nama penuh, Muhammad Zubir Mohamad Ali, 26, berkongsi foto dirinya bersama seorang wanita yang mengenakan busana sedondon berwarna merah jambu.

Biarpun gambar dimuat naik hanya memaparkan bahagian belakang wanita terbabit, identitinya dipercayai mula ‘dihidu’ warganet apabila ada komen menandakan individu itu bergelar ‘Doktor’.

Difahamkan, wanita yang berjaya menambat hati Zubir itu berketurunan India dan nama bermula dengan huruf H.

Menerusi kapsyen ringkas, Zubir seolah-olah memberi petunjuk dirinya kini semakin hampir ke fasa baharu dalam kehidupan dipercayai bakal melangsungkan perkahwinan.

“Alhamdulillah, one step closer (selangkah lebih dekat),” tulisnya ringkas bersama emoji hati berwarna putih yang turut mencuri perhatian warganet.

Dalam hantaran sama, dua foto dikongsi memperlihatkan Zubir memegang bunga nawar sambil memandang wanita berkenaan dengan penuh cinta.

Hantaran itu turut disertakan tanda pagar #zubirkhan #fyp #zh, selain Zubir sempat membalas ucapan tahniah yang ditinggalkan pengikutnya di ruangan komen.

“Terima kasih atas segala ucapannya,” balas Zubir.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Oh My Khadhale dan Yennode Macha mula dikenali peminat muzik Tamil tempatan sejak 2017.

Fasih berbahasa Tamil, dia sering diundang membuat persembahan di majlis perkahwinan sebelum aktif menghasilkan lagu sendiri.

Zubir turut meraih Anugerah Lagu Tamil Persembahan Tertinggi pada Anugerah MACP 2025 menerusi lagu Yennode Macha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top