Kumpulan wanita sensasi tanah air, Dolla kembali dengan single terbaharu berjudul Question, yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Lagu pop bernada emosi dan bertenaga itu menampilkan sisi kematangan kumpulan tersebut dalam menyampaikan kisah pengkhianatan, patah hati dan perjalanan menemukan semula kekuatan diri.
Menurut anggota Dolla, Tabby, Question bukan sekadar lagu tentang pasangan yang curang, tetapi juga simbol kepada keberanian terutama ketika berdepan dengan emosi dan kelemahan diri sendiri.
“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri.
“Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,” katanya.

Lagu tersebut dicipta oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, serta tiga anggota DOLLA sendiri iaitu, Tabby, Sabronzo dan Angel.
Question turut diterbitkan oleh Justin Seow dan Kuizz yang berjaya mengekalkan identiti muzik DOLLA dengan sentuhan pop moden dan nuansa funky yang segar.
“Kami menerima demo luar biasa daripada Kuizz dan Justin dengan korus yang sangat ‘catchy’. Kami ubah sedikit bahagian instrumental dan lirik supaya emosi lebih terasa. Proses rakaman sangat menyeronokkan dan penuh tenaga positif,” jelanya.
Tampil koreografer berbakat asal Thailand
Selain melodi yang memikat, Question turut menampilkan tarian koreografi bersemangat hasil kerjasama bersama Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand.
“Koreografi kali ini menggabungkan pergerakan feminin dengan formasi yang unik.
“Kami mahu ia kelihatan yakin tetapi tetap menyeronokkan. Prosesnya sangat kolaboratif dan akhirnya kami beri ruang kepada Earth-E untuk tonjolkan gaya uniknya,” ujar Sabronzo.

Lebih menarik, muzik video Question hadir dengan konsep retro diner yang penuh warna dan gaya yang juga dirakam di Fowlboys, The Campus, Ampang.
“Kami pilih tema diner retro yang menyeronokkan. Penggambaran dijalankan di luar waktu operasi dan agak mencabar, tapi hasilnya sangat berbaloi.
“Dalam video ini, kami konfrontasi ‘teman lelaki’ yang curang, malah ada babak kami ‘seret’ versi mininya!” kata Angel.
Muzik video berkenaan bukan sekadar hiburan visual, sebaliknya menyampaikan mesej keberanian dan pemberdayaan diri wanita untuk bangkit selepas dikhianati.
Selepas pelancaran Question, Dolla kini bersedia melangkah ke tahun 2026 dengan perancangan besar termasuk pelancaran album penuh baharu dan jelajah promosi di seluruh Asia Tenggara.
“Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia,” tambah Angel.
Dalam pada itu, Dolla juga bakal tampil dalam konsert ‘Good Girls Gone Bad’ yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember 2025, sekali gus menjanjikan persembahan penuh tenaga dan gaya tersendiri.




