Dolla terharu peminat datang seawal jam 12 tengah hari

Dolla terharu peminat datang seawal jam 12 tengah hari

najiy.jefri@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kumpulan Dolla terharu dengan sokongan peminat yang sanggup menanti sejak tengah hari untuk menyaksikan konsert sulung mereka, Re : Birth The Experience yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dolla yang dianggotai Angel, Tabby dan Sabronzo tidak menyangka dengan sokongan peminat yang disifatkan cukup luar biasa.

“Kami dimaklumkan ramai iDolla (kumpulan peminat) yang berkumpul di luar Zepp Kuala Lumpur seawal jam 12 tengah hari pada hari konsert itu. Mereka juga dikatakan mengadakan konsert sendiri di luar, ada yang menari dan menyanyi lagu kami.

“Kami sangat terharu dengan sokongan mereka untuk konsert ini. Selama ini mereka cukup teruja dan menunggu detik kami menjayakan konsert sulung,” kata Tabby.

Dolla ditemui pada sesi ramah mesra usai konsert Dolla Re : Birth The Experience yang diadakan di Universal Music, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Sabronzo berkata, pengunduran Syasya Rizal daripada kumpulan itu memberi kesan emosi kepada ahli Dolla untuk menjayakan konsert itu.

“Ketika sesi latihan, saya sudah terfikir perkara ini. Syasya sudah tidak lagi bersama kami selain tidak akan menjadi sebahagian perjalanan kami pada konsert ini.

“Rasa sedih kerana perbincangan mengenai konsert sudah kami rancang sebelum Syasya keluar Dolla lagi, tapi itulah hakikatnya.

“Kami bersyukur kami dapat jayakan konsert pertama. Kami berharap Syasya gembira melihat kami berjaya mengadakan konsert pertama,” katanya.

Tabby pula berkata, dia berharap Syasya akan sentiasa mendoakan perjalanan Dolla yang kini hanya tinggal mereka bertiga.

“Apa pun terjadi, Syasya tetap sebahagian perjalanan kami sebagai Dolla. Walaupun kami harapkan dia ada, tapi tidak mengapa kerana kami masing-masing mempunyai perjalanan dan haluan sendiri.

“Harapnya dia melihat kami sebagai memori manis dalam kehidupan dan semoga dia doakan kami baik-baik sebagai Dolla,” katanya.

Dalam konsert itu, lebih 2,400 peminat membanjiri dan memeriahkan konsert sulung Dolla.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top