sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegagalan memanfaatkan kelebihan beraksi dengan 10 pemain yang dimiliki DPMM FC menjadi antara punca Kuala Lumpur (KL) City FC tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 3-4 secara agregat pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua jurulatih KL City, Datuk Dollah Salleh berkata, anak buahnya gagal mempamerkan aksi seperti diharapkan pada separuh masa pertama selain melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, pemain sepatutnya boleh menjaringkan gol selepas lawan menerima kad merah tetapi barisan hadapan tidak berjaya menterjemahkan kelebihan itu kepada jaringan.
“Pada separuh masa pertama, kita tidak bermain seperti yang diinginkan dan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Pada separuh masa kedua, kita tidak mengambil kesempatan apabila DPMM bermain dengan 10 pemain. Kita mempunyai banyak peluang tetapi mensia-siakannya. Kita sudah melakukan yang terbaik, cuma jaringan gol sahaja yang tidak dapat dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata, pemain KL City perlu lebih berani dan agresif ketika melancarkan serangan, termasuk mengambil peluang melakukan percubaan dari luar kotak penalti, terutama ketika masa semakin suntuk.
“Apabila hampir semua pemain DPMM berada di dalam kotak penalti, agak sukar untuk kita menjaringkan gol jika hanya dua atau tiga pemain yang masuk membantu serangan.
“Kita perlu mencipta sesuatu dan lebih ramai pemain mesti masuk ke dalam kotak penalti. Dalam keadaan seperti itu, kita tidak boleh bermain secara sambil lewa. Kita perlu lebih tegas dan pantas untuk mencari gol,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi aksi Liga Super, Dollah berkata, beliau kecewa kerana pasukan gagal meraih kemenangan di laman sendiri, namun menegaskan tumpuan kini perlu beralih kepada perlawanan seterusnya menentang Melaka.
Beliau turut berharap masalah kecederaan pemain tidak lagi mengganggu persiapan pasukan, selain mengakui keserasian dalam kalangan pemain masih perlu dipertingkatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




