BEIJING: Beberapa daerah di Beijing mengeluarkan amaran hujan lebat, dengan pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko bencana termasuk banjir di kawasan pusat bandar serta kejadian aliran lumpur dan tanah runtuh di kawasan pertanian dan pergunungan.
Lapor Reuters, hujan luar biasa lebat itu berlaku ketika China bersiap menghadapi Taufan Dolphin yang dijangka melanda pantai timur negara itu antara Ahad dan Isnin.
Daerah Dongcheng, Xicheng, Haidian, Chaoyang, Tongzhou dan Pinggu di Beijing semuanya mengeluarkan amaran hujan lebat, dengan jumlah hujan sejam dijangka melebihi 50 millimeter (mm).
Jumlah hujan tertinggi direkodkan di daerah Miyun, timur laut Beijing pada petang Jumaat apabila taburan hujan mencecah 99.5 mm.
Pihak berkuasa berkata, lebih 2,000 petugas dikerahkan bagi membantu menangani banjir di sekitar Beijing.
Hujan lebat dan banjir di wilayah Shaanxi, barat laut China, pada Khamis menyebabkan jalan raya runtuh serta merosakkan jambatan dan infrastruktur bekalan elektrik serta komunikasi, sekali gus mendorong ribuan penduduk dipindahkan.
Wilayah di timur dan selatan China turut membuat persiapan menghadapi Taufan Dolphin dengan menggantung perkhidmatan feri, menghentikan kerja pembinaan dan memindahkan bot nelayan ke tempat selamat.
Sementara itu, suhu tinggi melanda sebahagian besar negara, dengan suhu di kawasan tengah dan timur melebihi 38 darjah Celsius. Gelombang haba terbaharu itu turut melanda timur laut China dan memecahkan rekod suhu di Semenanjung Korea yang berdekatan.




