London: Dominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) di pentas Liga Juara-Juara (UCL) menerima tamparan besar apabila hanya dua wakil, Arsenal dan Liverpool, berjaya mara ke suku akhir.
Empat lagi kelab England, Manchester City, Chelsea, Newcastle United dan Tottenham Hotspur, tersingkir serentak di pusingan 16 terbaik, sesuatu yang jarang berlaku.
Lebih membimbangkan, keempat-empat pasukan itu bolos sebanyak 28 gol secara keseluruhan, mencerminkan kelemahan ketara dalam aksi timbal balik.
Situasi itu berbeza dengan beberapa musim lalu apabila kelab England sering mendominasi Eropah, termasuk mara ke final dalam lima daripada enam musim antara 2018 hingga 2023.
Jadual padat EPL dilihat antara punca utama kemerosotan prestasi.
Pengurus Liam Rosenior mengakui pemain berdepan beban fizikal tinggi selepas mengharungi lebih 100 perlawanan dalam tempoh 18 bulan.
“Jika saya tidak mengurus minit permainan mereka, risiko kecederaan akan meningkat,” katanya.
Berbeza dengan kelab Eropah lain seperti Real Madrid yang mampu melakukan lebih banyak rotasi pemain, sekali gus memberi fokus kepada UCL.
Keletihan jelas memberi kesan, seperti dialami Newcastle yang hilang momentum sebelum dibelasah Barcelona 7-2 dalam aksi kedua.
Corak permainan EPL yang berintensiti tinggi juga dilihat kurang sesuai untuk saingan kalah mati Eropah yang menuntut kawalan permainan.
Bekas pemain Liverpool, Stephen Warnock berkata, keutamaan kelab England sering tertumpu kepada saingan domestik.
“Di Sepanyol, fokus utama adalah UCL, tetapi di England lebih kepada kelayakan musim depan,” katanya.
Bekas pemain sayap Crystal Palace, Andros Townsend pula menegaskan kesilapan kecil mudah dihukum di peringkat ini.
“Jika hilang bola, anda akan dihukum,” katanya.
Kini, harapan EPL di Eropah hanya bergantung kepada Arsenal dan Liverpool untuk mengembalikan reputasi mereka di pentas tertinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




